Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, May 22, 2012

‘Saya bukan wira’


Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

“SAYA bukan wira, saya cuma menjalankan tugas dan semua pemain sebenarnya berhak mendapat pujian di atas kejayaan ini,” kata penyerang import Kelantan, Mohamed Ghaddar yang menjaringkan gol tunggal kemenangan pasukannya menewaskan Sime Darby 1-0 di pentas Final Piala FA kelmarin.

Biarpun gol itu hadir menerusi sepakan penalti kontroversi pada minit ke-58 selepas pengadil, Suhaizi Shukri menghukum pemain pertahanan Sime Darby, Mohd Fairuz Abd Aziz yang dikatakan menolak Obinha Nwaneri dalam kotak penalti, Ghaddar tidak mahu menjadikan ia satu isu.


Sebaliknya pemain import dari Lubnan itu menganggap pengadil sudah membuat keputusan dan dia gembira dapat menyempurnakan sepakan penalti yang cukup bermakna dalam kariernya biarpun mengakui berasa sedikit tertekan.

“Saya sudah banyak menjaringkan gol menerusi sepakan penalti namun ini paling penting buat saya kerana saya memang bertekad untuk menghadiahkan kemenangan untuk penyokong Kelantan yang datang ke stadium.


“Kami berhak menang kerana kami mendominasi permainan dan mencipta lebih banyak peluang berbanding pasukan lawan, jadi tidak perlu mempertikaikan kemenangan ini,” kata Ghaddar yang berarak bersama rakan sepasukan membawa trofi baru Piala FA mengelilingi stadium selepas majlis penyampaian hadiah.


Kejayaan Kelantan yang disaksikan 85,000 penyokong yang sebilangan besar penyokong The Red Warriors pasti dapat mengubat kekecewaan atas kegagalan pada final 2009 kepada Selangor 1-1 (sepakan penalti 4-1) sebelum tumpas 2-1 di tangan Terengganu tahun lalu.

Piala FA itu yang julung kali dimenangi itu diarak ke seluruh Kota Bharu, melengkapkan transformasi kehebatan gergasi Pantai Timur itu selepas muncul juara Piala Malaysia 2009 dan Liga Super musim lalu.


Bagi Ghaddar, kejayaan menjulang trofi Piala FA masih belum cukup, sebaliknya masih mahu terus memburu kejuaraan musim ini.


“Kami masih berpeluang mempertahankan Liga Super dan kami juga bersaing dalam Piala AFC, jadi kami masih ada tugas perlu dilakukan,” katanya.

--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...