Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, May 17, 2012

Butler ganti Mat Zan 1 Jun

http://rakanbola.com/wp-content/uploads/2012/05/image3.jpg

KUALA TERENGGANU - Teka-teki siapa yang bakal menggalas tugas Mat Zan Mat Aris sebagai ketua jurulatih Terengganu akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih Kelantan, Peter James Butler disahkan memikul tanggungjawab tersebut.

Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di sini semalam dan menurut beliau, Butler akan memulakan tugas berkuatkuasa 1 Jun ini.

Ahmad berkata, pemilihan Butler bagi mengambil alih tugas Mat Zan dibuat berdasarkan rekod cemerlang jurulatih berketurunan Inggeris itu sebelum ini termasuk pernah mengemudi skuad Kelantan.

"Mulai 1 Jun ini, kita (skuad Penyu) akan dapat jurulatih baru iaitu Peter Butler untuk mengambil alih tugas Mat Zan yang kini direhatkan sementara," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri Terengganu 2012 di sini semalam.

Beliau memberitahu, buat masa ini, Mat Zan masih dalam tempoh direhatkan selama dua minggu yang akan berakhir hari ini.

Ditanya sama ada Mat Zan akan meletakkan jawatannya dalam waktu terdekat ini, Ahmad bagaimanapun menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung perkara itu.

"Itu saya tak tahu (sama ada Mat Zan akan letak jawatan), kita serahkan kepada pihak PBSNT untuk buat keputusan," ujarnya.

Sementara itu, Butler berharap pelantikannya sebagai ketua jurulatih mendapat kerjasama penuh terutamanya daripada penyokong setia skuad Penyu.

"Saya tahu Terengganu ada penyokong fanatik. Banyak kali saya datang sini. Jadi, saya harap mereka (penyokong) akan bantu saya dan bantu pasukan," ujarnya.

Pada masa yang sama, Butler menolak tanggapan negatif yang melabelkannya sebagai jurulatih yang tidak komited untuk satu-satu pasukan kerana membimbing tiga pasukan berbeza dalam tempoh setahun.

"Saya di sini (Terengganu) untuk jangka panjang. Kontrak sehingga tahun 2013. Jadi, mereka (pengkritik) harus faham situasi ini.

"Situasi di Persiba (Balikpapan, Indonesia) tidak sama seperti di Malaysia. Saya hormat mereka. Mereka orang baik-baik. Tapi saya tidak bisa bekerja di sana lagi.

"Sebelum saya tiba di sana, pasukan itu (Persiba) berada di tangga bawah. Tapi ketika saya tinggalkan mereka, mereka sudah berada di atas. Jadi, saya fikir saya telah buat kerja yang bagus," katanya.

Selain kelab Persiba, Butler juga pernah melatih Kelantan untuk dua musim iaitu pada tahun 2009 dan awal tahun ini.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...