Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, April 16, 2012

Ghaddar kembali disenaraikan


GHADDAR kembali disenaraikan dalam skuad liga Super Kelantan.


SEPERTI yang diramal, penyerang import dari Lebanon, Muhammad Ghaddar kini kembali menyarung jersi skuad Liga Super Kelantan selepas berjaya meledak lima gol dalam dua perlawanan terakhir.

Hatrik ketika aksi di Kota Bharu dan dua lagi gol direkodkan di Kota Malang, Indonesia ketika aksi menentang Arema FC dalam kempen Piala AFC berjaya memikat hati pihak pengurusan.

Selepas hampir dua bulan direhatkan ekoran bergelut dengan prestasi yang tidak begitu memberangsangkan, Ghaddar membuktikan beliau adalah taruhan terbaik untuk Kelantan menghadapi baki saingan Liga Super yang akan memasuki pusingan kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri, Rosmadi Ismail berkata, keputusan membawa masuk kembali Ghaddar menggantikan Onyekachi Nwoha berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, selepas meneliti prestasi semasa pemain berkenaan, pihak pengurusan dan jurulatih, Bojan Hodak setuju untuk menyenaraikan Ghaddar sebagai pemain import untuk aksi Liga Malaysia.

"Keputusan tersebut dibuat selepas pihak pengurusan meneliti laporan yang disediakan oleh pihak jurulatih dan kita berpendapat Ghaddar lebih baik namun, khidmat Nwoha tetap diperlukan.

"Tidak timbul campur tangan daripada pihak pengurusan dalam keputusan ini kerana sejak dulu lagi kita menyerahkan urusan pasukan kepada pihak jurulatih untuk membuat penilaian," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, keputusan untuk mengekalkan Nwoha juga tertakluk kepada perbincangan antara pihak pengurusan dan pemain tersebut. Sekiranya Nwoha bersetuju untuk kekal, beliau akan beraksi pada Piala AFC.

Katanya, setakat ini Kelantan mengekalkan empat pemain importnya termasuk dua lagi, pemain pertahanan Obinna Nwaneri untuk Liga Malaysia dan Denny Antwi yang disenaraikan untuk beraksi pada Piala AFC.

"Merujuk prestasi Ghaddar dalam perlawanan lepas, kita berharap dan yakin beliau mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan.

"Semua tahu kita mempunyai jadual yang ketat, jadi kita memerlukan pemain yang mempunyai prestasi dan kualiti yang tinggi. Kita harap Ghaddar bersedia untuk itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rosmadi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberitahu, penggantungan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tidak menjejaskan proses pengurusan pasukan.

Jelasnya, pihak pengurusan menjalankan tugas seperti biasa dengan mengikut segala peraturan yang ditetapkan.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena