Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, April 5, 2012

FAM putuskan Annuar bersalah

ANNUAR dikerumuni jurugambar ketika hadir ke Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.


JAWATANKUASA Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa digantung selama dua tahun enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri berkuat kuasa semalam.

Pengerusinya, Datuk Taufik Razak memberitahu, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama lapan ahli Jawatankuasa Disiplin FAM yang bersidang hampir tujuh jam di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Terdahulu, Annuar didakwa melanggar statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, yang mana hanya Presiden FAM boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. Atas kesalahan itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun.

Beliau juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebarkan kepada pihak media. Bagi pertuduhan kedua itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan enam bulan.

“Ahli Jawatankuasa Disiplin FAM sebulat suara membuat keputusan bahawa Tan Sri Annuar Musa didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut.

“Justeru, pihak jawatankuasa tidak ada pilihan lain selain daripada menjatuhkan hukuman penggantungan selama dua tahun enam bulan terhadap beliau (Annuar).

“Pihak jawatankuasa juga telah menggunakan budi bicara (dengan) tidak mengenakan sebarang denda terhadap beliau,” kata Taufik pada sidang akhbar di Bilik Piala Liga Wisma FAM semalam.

Jelasnya, hukuman yang dikenakan ke atas Annuar itu menyebabkan jawatan yang disandang Annuar selaku Timbalan Presiden FAM serta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digantung serta-merta.

Selain menjawat kedua-dua jawatan utama itu, Annuar turut memegang jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia.

“Pihak kami tidak pernah menghalang Annuar untuk memberikan penjelasan. Ini bukan kesalahan pertama beliau dan hukuman tersebut tidak boleh dibuat sebarang rayuan memandangkan ia hukuman paling mininum,” ujarnya.

Sementara itu, Annuar ketika ditemui pemberita selepas kes perbicaraan tersebut berkata, beliau telah menunaikan tanggungjawab sebagai salah seorang ahli majlis FAM.

“Kepada kawan-kawan media, (saya) minta maaf sebab dalam FAM telah ditetapkan saya tidak boleh cakap kepada media, kecuali ada kebenaran bertulis daripada kongres.

“Jikalau saya nak cakap pasal FAM, saya kena tulis surat kepada kongres terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum kes perbicaraan itu bermula, kira-kira 300 penyokong Annuar berhimpun di luar pekarangan Wisma FAM sejak pukul 12.45 tengah hari sebagai tanda sokongan kepada Timbalan Presiden FAM itu.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena