Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 20, 2012

Wan Jamak mampu tersenyum bangga


ALOR SETAR - Walaupun terpaksa beraksi dalam hujan lebat kelmarin, kejayaan Kedah membenam PKNS pada saingan Piala FA di Stadium Darul Aman mampu membuatkan ketua jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan tersenyum bangga.

Perjuangan pemain skuad Kenari yang kesejukan berbaloi apabila perlawanan yang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penanti itu berpihak kepada mereka menerusi jaringan 4-2 setelah seri 1-1 selepas aksi 120 minit.

Wan Jamak berkata, pemain sudah menunjukkan peningkatan dalam persembahan mereka sejak tiga perlawanan lalu dan pada pertemuan dengan PKNS itu mereka telah membuktikan kemampuan dengan beroleh kejayaan.

Tambahnya, kesemua pemain telah membuktikan watak sebenar mereka di atas padang dengan berjuang bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan.

"Pemain terus berjuang sepanjang permainan hingga masa tambahan untuk mendapat kejayaan. Apa yang penting pemain sudah mendapat keyakinan dalam aksi dan persembahan mereka," ujarnya kepada pemberita di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Pada perlawanan itu, Kedah terikat 1-1 menerusi gol awal minit keempat oleh penyerang import, Abdel Safi El Fatah sebelum PKNS menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Nazrin pada minit ke-51.

Pada penentuan sepakan penalti jaringan Kedah dihasilkan oleh Mohd. Fauzie Nan, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri, Abdel Safi dan V. Thirumurugan.

Penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza berjaya menepis sepakan pertama pemain pelawat Sergio Ferreira dan tendangan Kapten Pasukan, Mohd. Fadhil Hashim pula terkena palang.

Gol pasukan lawan dijaringkan oleh Mohd. Fauzan dan Mohd. Khairul Azrin.

Menyentuh aksi dan persefahaman pemain import baru, Hamidan Mohamad, Wan Jamak memberitahu, pemain itu perlu meningkatkan lagi prestasinya.

"Saya sudah berpesan kepadanya. Persefahaman dengan rakan sepasukan perlu ditingkatkan lagi.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukan Kedah yang tidak pernah berhenti menyokong pasukan ini dan kemenangan malam ini adalah hadiah buat mereka," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...