Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, February 26, 2012

KAFA, Casamesra tandangan MoU bina stadium

KOTA BHARU - Impian rakyat Kelantan untuk memiliki stadium bola sepak yang lengkap dengan kemudahan menghampiri kenyataan selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Casamesra Sdn. Bhd. dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Melalui MoU tersebut, Casamesra diberi hak membina stadium tersebut dianggarkan berharga RM300 juta di atas tanah milik Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V seluas lapan hektar di Tunjong dekat sini.

Memorandum itu ditandatangani Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa manakala Casamesra diwakili Pengarahnya, Azhar Mustapha dalam satu majlis yang berlangsung di sini, semalam.

"Kita perlu usahakan pembinaan stadium ini. Kita nak wujudkan KAFA sebagai satu pasukan yang lengkap, punyai rumah sendiri. Kita nak bina stadium ratusan juta sudah tentu tak mampu.

"Jadi, bila Tuanku (Sultan Muhammad V) perkenan tanah di Tunjong, kita tidak mahu lepaskan peluang tersebut. Casamesra telah diberikan hak oleh Tuanku Sultan untuk majukan sebahagian tanah milik baginda yang mahu dibangunkan bandar Diraja Tunjong.

"Mereka (Casamesra) perlukan tuan rumah kepada stadium itu. Jadi, hari ini (semalam) KAFA buat MoU mengatakan kita sanggup untuk jadi tuan rumah kepada stadium ini seperti Stadium Emirates, tuan rumahnya ialah pasukan Arsenal," katanya di sini, semalam.

Menurut Annuar, KAFA hanya menjadi pengurus dan mengendalikan stadium sahaja.

"Saya ingin rayu kepada kerajaan supaya memberikan kelulusan segera untuk urusan pembinaan kerana tanah dah ada, Tuanku dah berkenan, reka bentuk dah ada. Selain itu, sudah ada pihak yang sanggup mengeluarkan belanja untuk menguruskannya. Segalanya dah ada jadi saya harap ia dapat disegerakan," katanya.

Beliau memberitahu, peringkat awal Casamesra mencadangkan pembinaan stadium dengan kapasiti 40,000 penonton, tetapi pihaknya telah membuat perundingan supaya saiznya dikecilkan kepada 30,000 orang sahaja.

"Kita rasa kapasiti 30,000 adalah jumlah yang sesuai dengan bilangan penyokong dan kos pengurusannya yang tidak terlalu tinggi. Selain itu, kita tidak mahu projek ini menjadi projek gajah putih dan KAFA mahu stadium ini merupakan stadium yang dinamik," ujarnya.


--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena