Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 7, 2012

Mbele tak cukup cergas

KUALA LUMPUR - Harapan penyokong Red Giants untuk menyaksikan kelibat penyerang import dari Congo, Lelo Mbele pada perlawanan pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan 10 Januari ini mungkin tidak kesampaian.

Walaupun diturunkan ketika aksi persahabatan menentang Pos Malaysia di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), baru-baru ini, ia bukan jaminan Mbele sudah boleh beraksi dalam perlawanan liga.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti memberi bayangan Mbele masih memerlukan sedikit masa jika mahu diletakkan dalam kesebelasan utama kerana masih belum cergas sepenuhnya, selepas sekian lama berehat untuk pulih daripada pembedahan otot depan kiri.

"Mbele masih belum mampu bermain dan saya tidak fikir dia dapat diturunkan dalam perlawanan pertama liga minggu depan.

"Berdasarkan aksinya dalam perlawanan persahabatan dengan Pos Malaysia, jelas dia masih tercari-cari sentuhan sebenar. Ketangkasan dan kelajuannya masih belum berada pada tahap memuaskan.

"Tujuan saya menurunkan dia pada perlawanan dengan Pos Malaysia hanya mahu menguji sejauh mana dia sudah pulih, namun jelas dia masih tidak bersedia, " katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Selangor dan Pos Malaysia, baru-baru ini.

Dalam perlawanan berkenaan, Selangor berjaya menjinakkan pasukan Liga Perdana itu 2-0 hasil jaringan Asraruddin Putra Omar dan Amri Yahyah pada babak kedua.

Dinilai persembahannya ketika dimasukkan 30 minit terakhir perlawanan, Mbele jauh berada pada kemampuan sebenar dan kelihatan tidak bermaya ketika mengasak kubu pasukan lawan.

Malahan, dia jarang mendapat bola dan pertahanan lawan kelihatan mudah mematikan pergerakan pemain berusia 24 tahun itu.

Bagi Mbele, walaupun gagal memberikan impak dalam perlawanan tersebut, dia gembira kerana dapat bermain kali pertama dengan Selangor.

"Saya rasa teruja kerana dapat bermain walaupun tidak seperti saya mahukan tetapi ia penting kerana memberikan keyakinan kepada saya.

"Jika jurulatih mahu menurunkan saya, saya rasa sudah bersedia untuk bermain, " katanya.

Mbele pernah bermain dengan kelab Arab Saudi, Al-Hilal dan kelab Afrika Selatan, Orlando Pirates yang mana menyaksikan dia pernah menjaringkan 20 gol ketika dua musim beraksi.


--- Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena