Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, November 7, 2011

Manaf akui dilamar

Oleh : NURUL HUDA HUSAIN
Tarikh : November 4, 2011
Abdul Manaf Mamat
PEMAIN tonggak utama skuad Penyu, Abdul Manaf Mamat mengakui terdapat beberapa pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, bagi menghadapi saingan musim depan, namun beliau memilih untuk terus kekal bersama Terengganu.

Malah, Abdul Manaf secara peribadi mengakui dirinya lebih selesa untuk bermain di bumi kelahiran sendiri kerana Terengganu bukan sahaja menjadi pasukan pertama yang disertainya, sebaliknya skuad itu jugalah yang berjaya melonjakkan namanya seperti mana hari ini.

“Saya akui memang ada beberapa pasukan yang menawarkan untuk mendapatkan khidmat saya, namun buat masa sekarang saya lebih selesa untuk bersama Terengganu.

“Justeru, saya berharap agar mampu memberikan aksi yang lebih baik untuk musim depan bagi memastikan Terengganu terus kekal sebagai gergasi bola sepak negara,” katanya.

Katanya, tahun 2011 merupakan tahun gemilang dalam kariernya apabila berjaya membantu pasukan meraih beberapa gelaran, namun turut dihimpit kesedihan apabila terpaksa menerima hakikat pemergian bapa tercinta, Mamat Mahmud, 73, ketika waktu itu dirinya sedang berhadapan saat genting untuk bertemu Kelantan dalam pertemuan suku akhir Piala Malaysia.

Nama Abdul Manaf yang mula menyarung jersi Terengganu sejak 2004 semakin terserlah, apabila digelar antara trio terhebat bergandingan dengan Abdul Hadi Yahaya dan Ashaari Samsuddin hingga berjaya meletakkan skuad Peteh kini sebagai kuasa sukan bola sepak negara.

Musim 2011 antara tahun terhebat buat Terengganu di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim, apabila berjaya dinobatkan juara Piala FA, naib juara Liga Super dan terbaru meraih naib juara Piala Malaysia dengan kekalahan tipis 1-2 kepada Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
 
 
--- Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena