Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, September 4, 2011

Shahrizan jadi taruhan utama


KEMAMPUAN Shahrizan untuk menggalas tanggungjawab menjaga gawang Kelantan masih dipersoalkan.


KELANTAN cukup terkenal sebagai sebuah pasukan yang berjaya menampilkan beberapa nama besar di posisi penjaga gol sejak era 1980-an.
Selepas kemunculan Hamid Ramli, legasi kecemerlangan tersebut diteruskan dengan kehadiran Wan Kamarulzaman Mohamad, Halim Napi dan ketika ini – Khairul Fahmi Che Mat sedang berada di kemuncak karier.
Bagaimanapun, menjelang kempen Piala Malaysia yang akan membuka tirainya Selasa ini, Kelantan diselubungi khabar kurang gembira apabila tiga penjaga gol mereka tidak dapat disenaraikan.
Khairul Fahmi yang menggalas tanggungjawab bersama skuad Olimpik mungkin tidak mendapat pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini kerana skuad Olimpik dalam persiapan bagi menghadapi saingan peringkat kumpulan Kelayakan Olimpik 2012.
Kem Kelantan bertambah resah apabila dua lagi penjaga gol, Norhadi Ubaidillah dan Halim di- belenggu masalah kecederaan.
Berikutan masalah tersebut, seluruh ‘mata’ peminat setia skuad The Red Warriors kini tertumpu kepada penjaga gol kedua, Shahrizan Ismail yang tidak asing dalam kejohanan domestik.

Namun timbul persoalan sama ada Shahrizan mampu menggalas tanggungjawab yang diamanah ketika Kelantan dalam misi mempertahan Piala Malaysia musim ini.
Pada kempen tahun ini, dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan dan hanya beraksi untuk tempoh 270 minit dalam Liga Super.
Kelibat Shahrizan sering dibayangi oleh ketangkasan Khairul Fahmi sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap prestasi semasa pemain berusia 32 tahun ini walaupun ‘dadanya cukup dengan ilmu’.

Sebagai rekod, Shahrizan pernah mencuri tempat sebagai penjaga gol No. 1 pasukan Selangor selama tiga musim bermula 2001.
Dia kemudiannya berkelana ke Terengganu pada 2005 sebelum memilih untuk pulang berbakti ke negeri kelahirannya, Kelantan pada 2008.
Musim 2009 menyaksikan Shahrizan kehilangan posi- sinya selepas kemunculan semula Halim dan setahun kemudian, dia sekali lagi diketepikan dengan kehadiran Syed Adney Syed Hussain.
Secara tiba-tiba, kelibat Khairul Fahmi pula mula mencuri tumpuan sehingga mencetuskan fenomena baharu dalam skuad Kelantan. 

Selepas lebih dua musim menanti, pentas Piala Malaysia adalah kesem- patan terbaik untuk Shahrizan membuktikan keupayaan sebenarnya.
Dalam empat siri perlawanan persahabatan sebelum ini, Shahrizan mempamerkan aksi cemerlang ketika bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor, Songkla FC dan hanya melepaskan satu gol ketika Kelantan menentang T-Team.
Statistik tersebut mungkin sudah cukup untuk menutup mulut para pengkritik yang meragui kemampuannya selain ia satu isyarat jelas bahawa Shahrizan kini sedang mencongak sesuatu untuk merampas semula posisi penjaga gol utama Kelantan. 

Memiliki susuk tubuh yang lebih kecil dan rendah, Shahrizan memiliki kekuatan tersendiri terutama kemampuannya membaca gerak lawan ketika situasi bola satu lawan satu.
Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu pernah memberitahu, Shahrizan adalah seorang yang cukup sempurna untuk mengisi posisi penjaga gol.
“Apabila penjaga gol nombor satu dan dua anda berada pada tahap yang sama ia suatu yang cukup sempurna. Mereka (Khairul Fahmi dan Shahrizan) membuatkan saya pening untuk memilih yang terbaik.

“Shahrizan memiliki segala kekuatan yang diperlukan oleh seorang penjaga gol. Dia cukup baik dalam situasi bola rendah dan tindakan refleks, cuma dia memerlukan lati- han yang lebih untuk berdepan bola tinggi.
“Dia kini sedang berada pada prestasi terbaik dan Apeq (Khairul Fahmi) mungkin terpaksa bekerja keras selepas ini sekiranya mahu terus menyarung jersi utama pasu- kan,” jelasnya.
Ketika Shahrizan sudah bersedia menggalas tanggungjawabnya, Kelantan kini perlu mencari seorang lagi penjaga gol simpanan.
Ia mungkin menjadi rebutan dua pemain muda iaitu penjaga gol Piala Presiden, Judtana Eh Put dan Muhammad Syazwan Yusoff atau Kelantan harus menagih kudrat Halim.

----- Kosmo Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena