Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, September 4, 2011

Apek sudah pulangkan cincin tunang

Khairul Fahmi (kanan) sewaktu tiba di KLIA, Sepang bersama skuad Olimpik negara dari Slovakia semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH


SEPANG - Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menegaskan masalah luar padang membabitkan dirinya tidak menjejaskan fokus menggalas cabaran negara pada pusingan Kelayakkan Olimpik 2012, bulan depan.

Khairul Fahmi atau Apek yang baru pulang dari menjalani latihan bersama skuad Olimpik di Slovakia kelmarin berkata, dia tahu membezakan antara kerja dengan hal peribadi.
"Waktu saya perlu kerja, saya sentiasa berikan seratus peratus. Masalah luar padang langsung tidak menjejaskan saya," katanya ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Khairul yang menjadi bualan hangat ekoran isu putus tunang dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, memberitahu masalah itu sudah hampir selesai tetapi belum 'sepenuhnya'.
"Disebabkan keluarga saya jauh di Kelantan, sebelum ke Slovakia lagi saya sudah serahkan cincin pertunangan kepada keluarga angkat di Kuala Lumpur untuk dipulangkan kepada keluarga Elia.
"Pertunangan kami telah diputuskan secara rasmi. Namun masih ada perkara yang perlukan saya selesaikan sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari cuti Hari Raya ini.

"Saya akan pastikan ia diselesaikan dengan cara baik dan tiada lagi masalah berbangkit kerana banyak lagi perkara penting saya perlu fokus, jadi masalah luar padang tidak harus timbul lagi," katanya.
Apek, 21, juga mengakui dia adalah lelaki dalam gambar kontroversi yang memaparkan seorang lelaki dan wanita berpegang tangan dari arah belakang, yang mana lelaki dalam gambar tersebut mirip dia. 

Namun Apek mengatakan wanita di dalam gambar tersebut bukan 'orang ketiga' dan tiada kena mengena dengan tindakan mengejut dia memutuskan pertunangan dengan Elia.
Gambar yang tersebar luas di Internet mendakwa ia dirakam ketika pasangan berkenaan bercuti di Universal Studio Singapura baru-baru ini. 

Tanpa menghuraikan butiran mengenai wanita tersebut, Apek memberitahu wanita tersebut adalah kenalan rapat di kampung halamannya
"Kami berdua mula rapat sejak timbul masalah saya dengan bekas tunang. Saya perlukan tempat mengadu dan bersamanya saya berasa selesa membincangkan. Dia bukan puncanya," jelas Apek
Sementara itu, pengendali skuad Olimpik, Ong Kim Swee menganggap latihan intensif sebulan di Slovakia berjaya mencapai matlamat.

Dia percaya pengalaman yang ditimba pemainnya memantapkan skuadnya menjelang Kelayakkan Olimpik bermula dengan bertandang ke Jepun 21 September ini.
Kematangan Harimau Muda tampak menyerlah dalam tujuh aksi persahabatan yang diatur menerusi rekod lima kemenangan dan hanya tewas dua kali.
Ia termasuk menang tipis 1-0 ke atas Moldava diikuti Topolcany 2-1; Mikulas 2-1; Dolny Kubin 2-0; dan Levice 1-0. Mereka kecundang kepada kelab Hungary, Budapest Honved 1-4 dan 0-1 kepada kelab Liga Corgon Slovakia, FC Nitra.

"Kita bermain tujuh perlawanan berkualiti dan kompetitif di Slovakia. Semua aksi persahabatan tersebut saya dapat nilai segala kekuatan dan kelemahan kita.
"Pasukan ini semakin matang dan ia ditonjolkan menerusi beberapa kemenangan. Ini merupakan kali ketiga kami berlatih di Slovakia, kalau dahulunya kita sering tewas, kali ini ia tidak sama lagi," jelasnya.

----- Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena