Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, July 11, 2011

Transformasi menjadi

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

DETIK MEMBANGGAKAN...Annuar bersama Badhri Radzi menjulang trofi Liga Super pada majlis penyampaian di Wisma FAM, kelmarin.
DETIK MEMBANGGAKAN...Annuar bersama Badhri Radzi menjulang trofi Liga Super pada majlis penyampaian di Wisma FAM, kelmarin.

KEJAYAAN Kelantan mengungguli Liga Super meletakkan The Red Warriors sebagai salah satu pasukan elit yang perlu diberi perhatian dalam sebarang saingan Liga Malaysia musim depan.

Malah persaingan merebut piala paling berprestij, Piala Malaysia yang bermula September ini sekali lagi menjadikan Kelantan tumpuan utama apabila turun sebagai juara bertahan.

Transformasi tiga tahun yang dilakukan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berjaya mengangkat negeri Pantai Timur itu bergelar ‘jaguh’ apabila meraih tiga piala iaitu Piala Malaysia (2010), Piala Sultan Ahmad Shah serta yang terbaru kejuaraan Liga Super selain muncul naib juara Piala FA (2009 dan 2011), naib juara Piala Malaysia (2009), naib juara Liga Super (2010).

Ikuti temubual dengan Presiden Kafa.



SOALAN: Bagaimana Tan Sri menilai kejayaan menjuarai Liga Super?

Tan Sri Annuar Musa (AM):
Kami bukan satu model kerana masih belajar. Kami tidak membentuk pasukan berdasarkan ganjaran, insentif dan wang ringgit semata-mata, kami membina pasukan yang ingin mencapai kecemerlangan kerana mempunyai visi mewakili negeri, rakyat serta penyokong Kelantan.


S: Adakah pencapaian ini terutamanya kejuaraan Liga Super sudah dijangkakan?

AM:
Saya sendiri sebenarnya tidak sangka apabila kami muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah, naib juara Piala FA dan seterusnya juara Liga Super pada musim ini kerana sedikit masalah yang berlaku membabitkan pemain di awal musim.

Berikutan masalah itu saya jangkakan kami akan menamatkan musim ini di kelompok pertengahan. Saya jangka The Red Warriors akan berada di tempat keempat atau kelima.

Namun selepas itu saya dapati pemain yang ada dalam skuad mempunyai kualiti, semangat juang tinggi, kerjasama sepasukan, tidak ada perkara kecil yang berbangkit serta cepat menyesuaikan diri dengan permainan. Ini yang membuatkan mereka konsisten dari awal saingan hingga perlawanan terakhir.

Untuk saingan Liga Super, Kelantan tidak semestinya menjadi pasukan terhebat kerana saingan liga memerlukan persembahan konsisten. Sebenarnya Selangor dan Terengganu juga bagus namun Kelantan berjaya kerana semangat sepasukan mantap yang membuatkan mereka konsisten.


S: Apa formula mencapai kejayaan ini?

AM:
Saya tidak boleh katakan Kelantan pasukan terbaik, cuma pelaksanaan dilakukan secara berpasukan dari semua aspek, semua menjadi satu. The Red Warriors membabitkan semua pihak termasuk peminat dalam pelbagai pentas termasuk penyokong di alam siber.

Kita juga berjaya mewujudkan perasaan ‘kekitaan’ di kalangan rakyat Kelantan. Saya terkejut apabila melihat sokongan yang ramai ketika menentang Sabah di Stadium Likas tempoh hari. Malah sokongan di tempat lawan terutamanya di sekitar Lembah Klang amat membanggakan.

Namun perlu diingatkan jangan terlalu bangga kerana bola sepak bola berubah-ubah.


S: Saingan merebut kejuaraan Liga Super musim ini ditentukan pada perlawanan terakhir. Bagaimana Tan Sri yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia serta pengerusi Malaysian Super League terhadap perkembangan ini?

AM:
Perkara yang menggembirakan kali ini adalah jarak atau jurang mutu antara pasukan yang bersaing semakin mengecil. Ini bermakna prestasi pasukan di tangga pertama, kedua dan ketiga dengan kelima hampir setaraf. Pahang pernah menewaskan Kelantan. Mereka terpaksa bermain play-off manakala kami adalah juara liga namun ia menunjukkan mutu persembahan antara kedua-dua pasukan tidak terlalu jauh.

Kebiasaannya kejuaraan liga akan diketahui ketika saingan berbaki dua atau tiga perlawanan namun musim ini kita terpaksa menunggu hingga ke perlawanan terakhir sekali gus bermakna Liga Super semakin kompetitif . Secara positif, jurang antara pasukan utama semakin mengecil. Itu tanda kemajuan liga kita.

Penonton juga sudah menunjukkan minat kepada skuad kebangsaan dan saingan liga tempatan kerana mengikut laporan statistik terdapat peningkatan dan ia bermakna liga kita berada di landasan yang betul. Kami perlu berkerja lebih keras lagi kerana proses menambah baik perlu berterusan. Tidak boleh cepat berpuas hati.


S: Bagaimana Tan Sri melihat mesyuarat exco FAM pada Selasa ini?

AM:
Ia pastinya satu mesyuarat yang penting kerana akan membincangkan beberapa perkara dasar terutamanya dalam menjadikan liga tempatan antara yang terbaik di rantau ini. Ia bakal mencorakkan liga untuk musim depan dan 2013 kerana bakal memuktamadkan jumlah penggunaan pemain import dan kaedahnya, pasukan yang diturunkan ke liga bawah dan pasukan yang dinaikkan.

----- Harian Metro Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...