Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, July 9, 2011

Red Warriors mahu gegar Piala AFC pula

PETALING JAYA - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan Red Warriors akan menyertai Piala AFC 2012 sebagai juara Liga Super, malah sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat tiga pemain import dari beberapa negara tertentu yang sudah dikenal pasti bagi memperkuatkan pasukannya.

"Kalaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 12 Julai ini mungkin menolak pemain import bagi Liga M musim depan, Kelantan tetap mahu bawa mereka hanya untuk Piala AFC, kerana kami tidak mahu sekadar menjadi budak belasahan dan tidak mampu menyaingi lawan dengan persediaan yang tidak seberapa.

"Beberapa pemain dari Bosnia, Ivory Coast dan Nigeria juga akan menjalani ujian pemilihan dengan Kelantan pada minggu ini dan minggu depan, selain kami akan membuat persiapan awal dengan cuba meninjau calon pemain import di negara Amerika Latin, Afrika dan Eropah Timur," katanya, yang juga Timbalan Presiden FAM.

Beliau menghadiri majlis penyampaian hadiah kemenangan Liga Super dan Perdana 2011 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Mengenai khidmat Datuk M. Karathu yang cemerlang membawa Kelantan menjuarai Liga Super dan naib juara Piala FA: "Kami akan kekalkan beliau kerana kontraknya selama semusim dan bekas jurulatih, B. Sathianathan yang baru selesai menjalani penggantungan FAM, akan terus mengendalikan Akademi Bola Sepak Belia Kelantan Al Hambra (ARMY)."

Sementara itu, ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi menyifatkan panggilan Ong Kim Swee bagi menyertai skuad 39 pelatih Pilihan Malaysia menentang Chelsea sebagai medan menimba pengalaman baru dan bekerja lebih keras dalam memburu tempat pada perlawanan persahabatan 21 Julai itu.

Pemain tengah Kelantan yang tidak pernah menyarung jersi Harimau Malaya mahupun skuad bawah umur negara dalam karier bola sepaknya berkata, kepercayaan jurulatih skuad Kelayakan Olimpik itu turut membuktikan masih ada peluang bagi pemain berusia 28 tahun sepertinya asalkan sentiasa meningkatkan mutu permainan.

"Saya berdebar apabila mendapat tahu disenaraikan dalam skuad pelatih bagi perlawanan dengan Chelsea itu. Ia satu peluang mencari pengalaman antarabangsa dan menuntut kerja keras untuk merebut tempat dengan kebanyakan pemain Harimau Muda A.

"Ia bukan mudah kerana rentak permainan mereka yang pastinya lebih pantas dan sudah serasi sepanjang Kelayakan Olimpik, baru-baru ini," katanya.

Badri merupakan antara 10 tonggak senior yang dipanggil di samping penjaring gol ke atas Manchester United 2009, Amri Yahyah; Hairuddin Omar yang menanduk gol tunggal ke atas Chelsea pada 2003 selain Daudsu Jamaludin, S. Subramaniam, Farizal Marlias, Rizal Fahmi Rosid, Joseph Kallang Tie, Ismail Faruqi Ashari dan Shahrulnizam Mustapa.

Badri bagaimanapun menujukan kejayaannya memikat Kim Swee berpunca daripada kerjasama rakan sepasukan Kelantan khususnya dalam mencapai impian bergelar juara Liga Super selain sokongan padu penyokong Wira Merah sekali gus satu menyalakan semangatnya untuk mempertahankan Piala Malaysia, September ini.

----- Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena