Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, July 9, 2011

Pengurus Perak letak jawatan

IPOH - Pengurus bola sepak Perak, Khairul Azwan Harun meletakkan jawatan berkuat kuasa, semalam berikutan kegagalan Perak menamatkan saingan Liga Super selaku lima teratas.

Khairul Azwan beranggapan kejayaan Perak menduduki tangga keenam liga tidak memadai menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad meletak jawatan.

Beliau mengurus skuad Seladang sejak November lalu setelah Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dipilih memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tahun lalu.

Perak mengakhiri musim 2011, kelmarin dengan mencatat keputusan seri 0-0 dengan Selangor di Stadium Perak, Ipoh.

Keputusan itu meletakkan Perak di tangga keenam liga dengan mengumpul 40 mata daripada masing-masing 10 kemenangan dan seri serta kalah enam perlawanan.

Sebelum ini, PAFA menetapkan sasaran lima pasukan terbaik pada akhir musim.

''Seseorang perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini," tegas Khairul Azwan dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam.

Khairul Azwan yang juga bendahari PAFA sedia memikul tanggungjawab ekoran kegagalan membimbing skuad Seladang dalam kelompok lima pasukan terbaik.

Namun begitu, beliau bersyukur dapat membawa skuad Seladang ke tangga keenam liga dari kedudukan 11 musim lalu.

Khairul juga menyatakan bahawa tugas pengurusan skuad Seladang akan disandang oleh penolong pengurus, Ahmad Shahrul Azhar bagi menghadapi saingan Piala Malaysia akan datang.

''Ahmad Shahrul akan bertanggungjawab untuk menyediakan laporan secara berkala mengenai prestasi skuad Seladang kepada Jawatankuasa Pengurusan Liga Super PAFA kelak," tambahnya.

Selain itu katanya, barisan jurulatih yang diketuai oleh Norizan Bakar dan para pemain yang sedia ada tetap dikekalkan.

'' Walaupun saya tidak mengurus skuad Seladang tetapi saya akan tetap memberi khidmat dari aspek pengurusan kewangan, pemantauan dan pembangunan bola sepak PAFA demi memartabatkan permainan ini di Perak," jelasnya.

Khairul memberitahu, Perak sedang merangka persiapan awal untuk membawa masuk beberapa pemain baru secara pinjaman bagi memperkuatkan skuad Seladang dalam saingan Piala Malaysia kelak.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya para penyokong yang memberi sokongan padu kepada skuad Seladang sejak awal musim ini.

----- Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...