Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, July 7, 2011

Penantian Kijang berakhir


Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

TROFI Liga Super yang amat diidam-idamkan akhirnya berada dalam dakapan Kelantan buat kali pertama selepas skuad gergasi Pantai Timur itu menewaskan Sabah 2-1 pada perlawanan terakhir liga malam tadi.

Penyerang sensasi Norshahrul Idlan Talaha beraksi cemerlang dengan menyumbat dua gol pada setiap babak namun tiada keceriaan berganda untuknya apabila dia sekadar mengumpul 19 gol daripada 26 perlawanan, dipintas pada saat akhir oleh penyerang Terengganu Abdul Hadi Yahaya yang meraih 20 jaringan untuk muncul penjaring terbanyak hasil ledakan empat gol ketika membantu Terengganu membelasah Felda United 6-2.

Gelaran juara Liga Super itu satu sejarah buat skuad The Red Warriors yang sering kempunan untuk menempatkan diri di kalangan pasukan elit sejak 1979 kerana cubaan mereka paling hampir adalah muncul naib juara di belakang Selangor pada tahun lalu.

Kemenangan ke atas Sabah membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata, meninggalkan Terengganu di tempat kedua dengan 53 mata manakala Selangor yang sekadar seri tanpa jaringan menentang Perak di Ipoh tersingkir ke tangga ketiga apabila ketinggalan empat mata di belakang sang juara.

Kelantan yang dibimbing jurulatih Datuk M Karathu turun beraksi di Stadium Likas memburu kemenangan biarpun menyedari keputusan seri sudah memadai untuk ditabal selaku juara Liga Super yang mula diperkenalkan pada 2004.

Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo di kalangan penyokong The Red Warriors meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-6 selepas menyepak masuk di depan gol selepas menerima lontaran ke dalam oleh Mohd Daudsu Jamaluddin.

Penyerang kebangsaan itu kemudian memastikan Kelantan selesa dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-72 menerusi sepakan menarik menerjah ke penjuru gawang menewaskan penjaga gol Azizon Abdul Kadir.

Ketika kejuaraan sudah terbayang di wajah anak buah Karathu, Sabah yang dibimbing jurulatih Justin Ganai cuba bangkit menerusi percubaan penyerang gantian Razlan Oto di minit ke-77.

Namun selepas itu Kelantan berjaya menyerap asakan dan meraikan detik gemilang sebaik wisel penamat dibunyikan.

Sementara itu, kekalahan di tangan Kedah 1-0 di laman sendiri menyebabkan Pahang tersingkir ke Liga Perdana musim depan bersama-sama Perlis yang menduduki tangga tercorot daripada 14 pasukan.

Kuala Lumpur pula boleh menarik nafas lega kerana kekal di tangga ke-12 untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super hasil kemenangan ke atas T-Team 3-2 pada aksi terakhir.

----- Harian Metro Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...