Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, July 10, 2011

Mat Yo terkilan kasut emas


KOTA BHARU – Dalam kegembiraan seluruh rakyat Kelantan meraikan kemenangan sebagai Juara Liga Super musim ini, penyerang berbisa The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talahah melahirkan rasa kekecewaan kerana gagal meraih anugerah kasut emas liga berprestij tempatan itu.

Norshahrul atau lebih dikenali dengan gelaran Mat Yo, dikecewakan selepas berbeza hanya satu jumlah jaringan berbanding penyerang Terengganu yang semakin meningkat, Abdul Hadi Yahaya.

Abdul Hadi mengambil kesempatan menyumbang empat gol dalam cabaran terakhir bertemu KL Felda United di Stadium Bukit Jalil, malam kelmarin menjadikan jumlah jaringannya sebanyak 19 meninggalkan Mat Yo di belakang dengan jaringan 18 gol.

“Saya ucapkan tahniah buat Abdul Hadi kerana berjaya merangkul anugerah tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Meskipun kecewa kerana gagal meraih anugerah penjaring terbanyak liga musim ini, beliau tetap gembira dapat membantu The Red Warriors menjuarai liga pada perlawanan penentuan dengan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam sama.

“Saya sangat gembira dapat menjaringkan dua gol sekali gus membolehkan Kelantan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali pertama,” katanya.

Sementara itu, perancang tengah The Red Warriors, Mohd Badhri Radzhi mengakui beliau antara ketua pasukan bertuah kerana berjaya membantu Kelantan merangkul kejuaraan piala tersebut sejak mula diperkenalkan tujuh tahun lalu.

Katanya, kejayaan itu cukup bermakna buatnya sepanjang kariernya selaku pemain bola sepak profesional.

“Bagi saya ia sesuatu yang membanggakan pada saat saya sebagai ketua pasukan Kelantan yang pertama berjaya membawa pulang piala tersebut ke bumi Che Siti Wan Kembang,” katanya.

Menurutnya, cabaran dalam saingan liga cukup berbeza dengan rebutan piala kerana semua pasukan mahu bergelar juara dan melibatkan satu perjalanan cabaran dalam satu tempoh yang panjang berbanding perebutan piala berperingkat.

“Bagaimanapun, ia berhasil dengan usaha dan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh barisan pemain setiap kali turun beraksi,” katanya.

Beliau berkata, walaupun gagal meraih kejuaraan Piala FA musim ini, namun para penyokong tetap memberikan sokongan padu buat Kelantan tidak kira kalah atau menang.

“Semangat inilah yang membantu barisan The Red Warriors merangkul kejuaraan liga yang pertama dan kejayaan ini akan menyemarakkan semangat kami untuk meneruskan kecemerlangan dalam saingan Piala Malaysia nanti,” katanya.

----- Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...