Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, July 8, 2011

Malaysia Diundi Dalam Kumpulan C, Menentang Jepun 21 Sept Ini

07 Julai, 2011 19:41 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Malaysia berhadapan misi getir bila diundi bertemu dengan pasukan yang telah lapan kali layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik, Jepun, dalam perlawanan pertama saingan kumpulan C pada 21 Sept depan.

Dalam undian pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 yang berlangsung di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, pada Khamis, Malaysia turut diundi bersama Syria dan Bahrain.

Jurulatih skuad Olimpik Ong Kim Swee mengakui cabaran berada dalam kumpulan C pastinya getir kerana tiga pasukan tersebut mempunyai corak perlawanan yang berbeza.

"Kita sedia maklum Jepun telah lapan kali ke Olimpik. Ia sememangnya satu permulaan cabaran yang sukar buat Malaysia, lebih-lebih lagi perlawanan pertama berlangsung di negara mereka. Malah mereka merupakan juara Sukan Asia 2010 di Guangzhou.

"Selain itu, saya melihat potensi Bahrain sebagai satu pasukan yang bersiap sedia dengan baik dan Syria merupakan pasukan yang mempamerkan permainan yang konsisten khususnya dalam pasukan remajanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis undian di ibu pejabat AFC di Bukit Jalil hari ini.

Beliau berkata bertemu dua jaguh Arab dan satu jaguh Asia merupakan cabaran yang berbeza dan cuba mendapatkan perlawanan persahabatan seperti menentang skuad Korea Selatan, untuk mengenal corak permainan Jepun sebelum ke kelayakan tersebut.

"Ia merupakan cadangan. Kita akan memutuskan keputusan ini selepas skuad Olimpik pulang dari Slovakia.

"Namun sebagai persediaan awal menentang Jepun nanti, pasukan Olimpik akan diberi tugas menentang Chelsea sebelum 25 pemain dipilih menyertai kem latihan berkampung di Vion, Slovakia dari 23 Julai hingga 28 Ogos ini," katanya.

Skuad Olimpik diberi kesempatan untuk menguji Chelsea selepas skuad kebangsaan yang dibimbing oleh Datuk K. Rajagobal terpaksa memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Singapura bagi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2014 Zon Asia pada 23 Julai dan 28 Julai ini.

Ong berkata sekiranya Persatuan Bolasepak Korea Selatan bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk membuat latihan di sana kelak, skuad Olimpik negara akan menjadikan negara itu sebagai kem latihan pusat dan terus ke Jepun.

Mengenai perlawanan kedua menentang Syria pada 23 Nov depan, pihaknya akan memohon dan berbincang dengan penganjur temasya Sukan SEA untuk menunda atau mempercepatkan jadual perlawanan ke tarikh yang sesuai memandangkan Malaysia sahaja yang mewakili Asia Tenggara ke kelayakan Olimpik tersebut.

Temasya Sukan SEA akan berlangsung dari 11 hingga 25 Nov.

"Perlawanan tersebut berselang dua atau tiga hari. Saya mahukan setiap pemain mempunyai keadaan dan stamina yang cergas hadapi setiap perlawanan kerana kita mahu mendapat mata penuh.

"Kita akan menghantar permohonan tersebut kepada penganjur bagi melonggarkan masa kita bermain nanti," katanya.

Dalam undian hari ini, sebanyak 12 pasukan yang layak dari pusingan kedua kelayakan Olimpik termasuk Malaysia diundi kepada tiga kumpulan.

Dua lagi kumpulan iaitu kumpulan A ialah Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi dan Oman sementara kumpulan B dibarisi Australia, Iraq, Uzbekistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Juara dalam setiap kumpulan iaitu tiga pasukan akan layak ke perlawanan temasya Sukan Olimpik.

Bagaimanapun tiga naib juara dalam setiap kumpulan perlu bermain dalam perlawanan kelayakan 'play off' untuk bersama tiga juara dalam setiap kumpulan ke London.

Skuad Olimpik melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan Lubnan dengan agregat 2-1. Terdahulu skuad kendalian Ong tersebut mara ke saingan kedua selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman Barat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...