Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, July 7, 2011

Kelantan sahkan kejuaraan


Pemain Kelantan meraikan kejayaan menjuarai Liga Super 2011 selepas mengalahkan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri


KUALA LUMPUR - Kelantan cemas seketika sebelum mengesahkan kejuaraan Liga Super 2011 apabila diasak pasukan tuan rumah Sabah pada babak akhir perlawanan, sebelum menang 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam.

Peledak utama Red Warriors, Noorshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukannya apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-5 dan ke-71.

Selepas jaringan kedua itu, Kelantan yang hanya menantikan wisel penamat dibunyikan, cemas apabila Sabah bangkit memberi tentangan dengan memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.

Jaringan tersebut menyuntik semangat pemain Sabah untuk memburu gol penyamaan dengan melakukan asak bertali arus, namun gagal menembusi gawang Kelantan yang dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat.

Kemenangan pada perlawanan terakhir semalam membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata dan tidak mampu dicabar Selangor dan Terengganu.

Sebaliknya Selangor menutup saingan musim ini dengan penuh kehampaan, apabila bukan sahaja gagal memintas Kelantan, sebaliknya tercicir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Kedudukan naib juara pula menjadi milik Terengganu apabila berpesta gol dengan membelasah Felda United 6-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya meledak empat gol pada minit ke-22, ke-42, ke-70 dan ke-82, manakala dua gol lagi dijaringkan Ree Shafiq Alwi minit ke-16 dan Abdul Manaf Mamat minit ke-18.

Gol Felda United pula dijaringkan Mat Asmarul Fadzil Hassan minit ke-45 dan Mohd. Shazwan Zainon minit ke-85.

Negeri Sembilan menutup saingan musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Ahmad Fakri Sharani minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah minit ke-59.

Kedah menamatkan saingan di tangga keempat selepas menang 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot, Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan menerusi jaringan tunggal Mohd. Fiqri Md. Isa minit ke-69.

----- Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...