Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, July 14, 2011

Giliran Liverpool uji Malaysia

SELEPAS Arsenal, kini giliran Liverpool pula yang akan menguji kehebatan skuad bola sepak kebangsaan pada aksi persahabatan yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Menurut penganjur, ProEvents Sdn. Bhd., skuad The Reds dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini dari Guangzhou, China.

Peminat bola sepak tempatan boleh menyaksikan kelibat pemain-pemain pujaan mereka pada sesi latihan yang akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada pukul 7 malam.

Bagaimanapun, sesi latihan itu dibuka kepada peminat-peminat yang mempunyai pas khas sesi latihan berkenaan sahaja.

Penaja rasmi Liverpool iaitu Standard Chartered dan Courts, masing-masing mempunyai program tersendiri meraikan ketibaan barisan bintang The Reds.

Bagi Standard Chartered Malaysia, mereka telah menubuhkan Standard Chartered-LiverpoolFanzone pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur (Pavilion KL) untuk meraikan ketibaan pasukan serta peminat kelab tersebut.

Ia bermula sejak Isnin lalu dan acara kemuncak ialah penampilan khas barisan pemain Liverpool pada pukul 3 petang esok.

Courts turut mengatur sesi bertemu peminat di premisnya di Setapak dan Cheras juga pada pukul 3 petang, hari yang sama.

Liverpool akan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada pukul 5.45 petang, Sabtu ini.

Sementara itu, skuad The Reds bermula hambar pada Siri Jelajah Asia 2011 apabila sekadar mencatatkan kemenangan tipis 4-3 ke atas kelab Divisyen Dua China, Guangdong Sunray Cave malam tadi.

Pada aksi tersebut, skuad kendalian Kenny Dalglish itu bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Christian Poulsen pada minit ke-20 sebelum David Ngog meledak gol kedua berselang dua minit kemudian.

Begitupun, Ricardo Steer berjaya merapatkan jurang buat Guangdong Sunray Cave menerusi jaringan pada lewat babak pertama perlawanan.

Sebaik babak kedua bersambung, anak-anak buah Dalglish terus garang apabila berjaya menambah dua lagi gol menerusi Conor Coady pada minit ke-72 dan Andy Caroll (85).

Biarpun ketinggalan dengan tiga gol, Guangdong Sunray Cave masih belum berputus asa apabila berjaya meledak dua gol dalam tempoh dua minit pada lewat babak perlawanan masing-masing menerusi Lu Lin dan Yin Hongbo.

----- Kosmo Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...