Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, July 8, 2011

Azraai Khor Enggan Letak Sasaran Tinggi Pada Saingan Piala Malaysia Musim Ini

07 Julai, 2011 13:52 PM

SEREMBAN, 7 Julai (Bernama) -- Jurulatih Negeri Sembilan Mohd Azraai Khor Abdullah berkata beliau tidak mahu meletak sasaran terlalu tinggi pada saingan Piala Malaysia musim ini, namun yakin pasukannya mampu melangkah jauh.

"Saya akan cuba buat yang terbaik. Saya tidak mahu meletak sasaran yang tidak realistik, memandangkan beberapa pemain utama kita baru pulih daripada kecederaan. Bagaimanapun saya berharap kita dapat sekurang-kurangnya melangkah ke peringkat suku akhir. Selepas itu kita tengok percaturan 'game by game'.

"Tidak gunanya kita letak satu sasaran yang kita tidak boleh capai, lepas itu memberikan kita satu tekanan pula," katanya di sini, pada Khamis.

Keyakinan beliau itu bersandarkan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan termasuk Norhafiz Zamani Misbah yang kini telah mulai pulih, kecuali Zaquan Adha Abdul Razak.

"Setelah ramai pemain utama yang pulih daripada kecederaan, sekurang-kurangnya kita ada pilihan. Tidak seperti sebelum ini, hendak letakkan kesebelasan utama pun memang memeningkan," katanya.

Sejak mengambil alih daripada Wan Jamak Wan Hassan pada Mac lepas, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Azraai berikutan kecederaan yang dialami beberapa pemain utama.

Bekas jurulatih Kedah dan skuad kebangsaan itu dipilih menggantikan Wan Jamak dalam usaha memulihkan maruah tercalar skuad Negeri Sembilan selepas beberapa siri keputusan yang mengecewakan dalam Liga Malaysia.

Mengenai persiapan skuad Rusa menjelang Piala Malaysia, Azraai berkata tempoh berehat dua bulan ini akan digunakan untuk mengatur beberapa perlawanan persahabatan.

"Kita juga dalam proses mendapatkan tiga pemain dari pasukan lain untuk dipinjamkan bagi memantapkan lagi pasukan," katanya.

Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Malaysia 2011 dengan menewaskan Perlis 2-0 di sini malam Rabu.

Dengan keputusan itu, Negeri Sembilan yang mengumpul 32 mata menduduki tempat kelapan daripada 14 pasukan yang bersaing pada Liga Malaysia musim ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena