Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, July 9, 2011

Amri, Hairuddin dipanggil hadapi Chelsea

KUALA LUMPUR - Dua bekas pemain kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah dan Hairuddin Omar berpeluang membolosi gawang gergasi Liga Perdana England sekali lagi apabila kedua-dua mereka dipanggil jurulatih, Ong Kim Swee untuk menyertai pemilihan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Chelsea, 21 Julai ini.

Penyerang Selangor, Mohd. Amri pastinya diingati bagaimana rembatan voli jarak jauhnya membolosi gawang Manchester United yang dikemudi bekas penjaga golnya, Edwin van der Sar, dua tahun lalu.

Malah, dia juga menghukum kecuaian Darron Gibson yang cuba membuat hantaran ke belakang kepada Ben Foster, walaupun Malaysia tewas tipis 2-3 dalam perlawanan itu.

Hairuddin, penyerang Negeri Sembilan, pula merupakan penjaring gol sulung menerusi tandukan kencang ketika Malaysia tewas 1-4 di tangan Chelsea pada 2003.

Namun, sebelum memasang impian menyarung semula jersi kebangsaan, mereka terlebih dahulu perlu membuktikan kemampuan diri masing-masing daripada sekumpulan besar 23 pemain bukan skuad Olimpik yang turut dipanggil Kim Swee.

Kim Swee bakal menggandingkan kumpulan pemain tersebut dengan 16 lagi pemain skuad Harimau Muda A bimbingannya bagi membentuk pasukan pilihan Malaysia mantap untuk berentap dengan The Blues.

"Seramai 11 daripada 23 yang terpilih itu merupakan pemain bawah 22 tahun yang juga saya akan pertimbangkan untuk diserap ke dalam skuad Olimpik dan Sukan SEA.

"Langkah itu adalah perlu memandangkan ketiadaan beberapa tonggak skuad Olimpik yang juga diperlukan untuk skuad senior kebangsaan,

"Bayangkan barisan belakang kami tanpa Mahali (Jasuli), Apek (Khairul Fahmi Che Mat), Muslim (Ahmad), Fadhli (Shas)... maka barisan alternatif perlu dicari kerana andai Malaysia menewaskan Singapura pada kelayakan Piala Dunia nanti, mereka akan terus diperlukan untuk Harimau Malaya," katanya kepada pemberita, semalam.

Kesemua 39 pemain yang dipanggil akan melapor diri untuk menjalani latihan berpusat di Wisma FAM, Isnin ini.

Kim Swee dijangka menamakan skuad bertemu Chelsea tiga atau empat hari sebelum tarikh perlawanan. Dia bagaimanapun tidak terlalu runsing memikirkan mengenai perlawanan Chelsea, kerana keutamaan tetap kepada kelayakan Olimpik.

"Pertembungan Chelsea hanya merupakan satu lagi perlawanan, semudah itu. Saya tidak terlalu mementingkan perlawanan tersebut, namun adalah bagus untuk para pemain menimba pengalaman beraksi menentang lawan bertaraf dunia.

"Pada akhirnya, pusingan akhir kelayakan Olimpik adalah menjadi keutamaan," katanya yang akan menyenaraikan 25 pemain untuk menjalani latihan di Slovakia selama sebulan iaitu 23 Julai hingga 28 Ogos ini.

----- Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...