Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, June 11, 2011

Tekad Norshahrul

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PENYERANG berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha mahu meledak gol awal bagi mematikan terus semangat melawan Terengganu pada final Piala FA, malam ini.

Penjaring terbanyak Liga Super dengan 16 gol itu berkata, sekiranya berjaya melakukannya, kemenangan pasti memihak kepada The Red Warriors untuk menjulang Piala FA buat kali pertama sejak saingan itu mula diperkenal pada 1990.

“Ketika aksi Liga Super, Isnin lalu, kami berjaya meledak gol awal dan ia banyak membantu kami menguasai perlawanan dan memenangi perlawanan di gelanggang lawan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam. Penyerang kebangsaan itu meledak dua gol pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu dengan Mohd Izuan Salahuddin menjaringkan gol seawal minit kelapan permainan.

Pemain yang turut dikenali sebagai Mat Yo itu turut bertekad mahu terus membuktikan ketajamannya walaupun terpaksa berdepan penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Alawee Ramli dan keampuhan benteng pertahanan lawan yang diketuai pemain berpengalaman, Mohd Marzuki Yusof.

“Ia bukan tugas mudah dan saya merasakan perlawanan ini akan berakhir dengan kelebihan tipis. Malah kehadiran semula Ashaari Samsuddin bakal menguatkan skuad lawan,” katanya yang sedar bahaya yang mungkin boleh dicetuskan rakan sepasukan dalam skuad negara itu.

Mat Yo pastinya mahu membuktikan kejaguhannya kerana dia bukan saja sedang bersaing sengit dengan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya untuk penjaring terbanyak Liga Super namun perlu mencuri hati ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya. Malah semua ganjaran dijanjikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) adalah satu dorongan kepada dirinya dan rakan sepasukan untuk terus mencipta kemenangan.

----- Harian Metro Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...