Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, June 14, 2011

Tekad Fahmi

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat

KEKECEWAAN terlepas kejuaraan Piala FA ke tangan Terengganu, Sabtu lalu amat dirasai penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar) sehingga dia yang ditemui selepas tamat perlawanan itu bagaikan tidak mampu untuk meluahkan kata-kata.

Namun pemain berusia 22 tahun itu sedar, ada agenda lebih penting menanti selepas ini yang memaksanya segera bangkit untuk bersama skuad Olimpik negara bagi misi mencipta kejutan pada pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 menentang Lubnan di Beirut, Ahad ini.

“Kekalahan ini memang mengecewakan saya, kami kalah dengan jaringan minit terakhir. Bagi saya apa terjadi, sudah terjadi dan esok saya kena mulakan hari baru.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk berehat kerana selepas ini akan menyertai skuad Olimpik ke Doha bagi persiapan perlawanan Olimpik. Saya perlu bersedia untuk memberikan aksi terbaik apabila bersama pasukan negara,” katanya.

Khairul Fahmi beraksi cemerlang pada final Piala FA dengan beberapa kali menyelamatkan percubaan Terengganu namun terpaksa akur melihat pintu gawangnya dibolosi gol jaringan sendiri Mohd Daudsu Jamaludin dan pemain gantian Terengganu, Ahmad Nordin Alias pada masa tambahan.

Tamat perlawanan itu, dia yang mencipta nama ketika membantu Harimau Malaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF, Disember lalu terus bergegas pulang untuk bersiap sedia sebelum berlepas ke Doha semalam bagi menyertai skuad Olimpik negara bimbingan jurulatih Ong Kim Swee yang tiba sehari lebih awal.

Pemain kelahiran Kota Bharu itu bagaimanapun tidak keseorangan ke Doha kerana ditemani pemain pertahanan Terengganu, Mohd Zubir Azmi yang turut beraksi pada final Piala FA.

“Saya amat gembira kerana dapat membantu Terengganu membawa pulang trofi Piala FA. Kejayaan ini sememangnya akan memberi semangat untuk saya berusaha bersungguh-sungguh apabila beraksi dengan skuad Olimpik,” kata Mohd Zubir yang dipanggil buat kali pertama oleh Kim Swee ketika Malaysia tumpas 1-0 kepada Kemboja dalam aksi persahabatan Selasa lalu.

Sementara itu, Kim Swee mengesahkan Khairul Fahmi dan Mohd Zubir tidak diturunkan pada perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Qatar di Stadium Al Saad awal pagi tadi.

“Kedua-dua pemain ini sudah menjalani latihan bersama pemain lain tapi saya tidak akan turunkan Apek (Khairul Fahmi) dan Zubir pada perlawanan ini kerana mereka nampak keletihan, saya tidak mahu ambil risiko,” katanya yang dihubungi semalam.

Perlawanan dengan Qatar adalah persiapan terakhir skuad Olimpik negara sebelum bertandang ke Beirut, Jumaat ini dan akan kembali ke tanah air untuk menghadapi perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 23 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...