Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, June 6, 2011

Raja tak kisah

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K Rajagobal tidak kisah jika ada pihak menganggap prestasi pemainnya merosot berdasarkan keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong dalam aksi perlawanan persahabatan Jumaat lalu.

Ini kerana beliau berpendapat, keputusan yang dicapai dalam tempoh persiapan skuad negara ketika ini tidak memberi sebarang makna sebaliknya yang penting adalah pertemuan dengan Taiwan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 29 Jun depan.


“Kita boleh kalah (dalam perlawanan persahabatan), tapi paling penting adalah perlawanan dengan Taiwan bagi pusingan kelayakan Piala Dunia. Selain itu, saya juga mahu menumpukan kepada pembentukan skuad yang mantap bagi kelayakan Piala Asia 2015,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Pada perlawanan dengan Hong Kong di Stadium Siu Sai Wan, skuad Harimau Malaya ketinggalan 0-1 pada minit ke-59 hasil tandukan Chan Siu Ki namun berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang yang membuat penampilan pertama, Abdul Hadi Yahaya di minit ke-66.

Skuad juara Piala Suzuki AFF itu sebelum ini pernah menewaskan lawan yang sama di Stadium Shah Alam 2-0 pada 9 Februari lalu.

Bagaimanapun, Rajagobal tidak dapat bersama skuad ke Hong Kong kali ini kerana menerima penganugerahan pingat Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kelmarin.

Beliau menyerahkan tugas mengendalikan skuad yang dibarisi 10 muka baru itu kepada penolongnya Tan Cheng Hoe.

“Walaupun saya tidak bersama ketika itu, saya masih mengikuti perkembangan apabila berhubung dengan jurulatih Tan. Bermain di gelanggang Hong Kong bukan mudah apatah lagi mereka mahu menebus kekalahan sebelum ini.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain, mereka bermain bersungguh-sungguh. Saya tidak boleh membuat penilaian ke atas pemain baru berdasarkan satu perlawanan ini saja. Mereka kena beraksi konsisten sekurang-kurangnya lebih 10 perlawanan, baru saya boleh tahu sama ada pemain ini boleh bermain di peringkat antarabangsa,” kata Rajagobal.

Antara pemain baru yang merasai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa adalah Abdul Hadi, Helmi Remeli, Mohamad Hisyamudin Mohamed Shaari dan Muhamad Shahrom Abdul Kalam.

Rajagobal akan menyambung semula persiapan skuad negara pada 15 Jun ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Stadium Sultan Mohamed ke-IV.

Selepas itu beliau merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan pada 24 Jun sebagai persiapan terakhir sebelum aksi pertama menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun. Skuad negara akan bertandang ke gelanggang lawan bagi perlawanan kedua pada 3 Julai.

----- Harian Metro Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena