Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, June 10, 2011

Kijang sedia 'gomo' Penyu




KOTA BHARU - Penampilan sulung pada perlawanan akhir Piala FA akan digunakan sebaik mungkin oleh pemain sayap lincah Red Warriors, Nurul Azuwan Roya bagi membantu pasukannya meraih kejuaraan buat kali pertama.

Nurul Azuwan atau Awe, mahu menjadikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil esok sebagai medan terbaik untuk membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh pengurusan pasukan termasuk Ketua Jurulatih, Datuk M. Karathu.

Menurutnya, meskipun kali pertama beraksi pada pentas perlawanan akhir, dia tidak gentar untuk berhadapan dengan puluhan ribu penyokong lawan, yang dijangka menguasai veneu final nanti.

"Saya rasa semakin bersemangat dan tidak sabar untuk beraksi. Inilah peluang terbaik buat saya dan pasukan mencipta sejarah baru bola sepak Kelantan dengan membawa pulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama ke bumi Kelantan.

"Selaku anak jati negeri ini, saya akan mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut. Namun jangan terlalu yakin walaupun kita pernah menewaskan mereka 3-0 dalam saingan Liga Super Isnin lalu," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, dia yakin Kelantan mampu muncul juara sekiranya rakan-rakan sepasukan memberi tumpuan sepenuhnya dan mengikuti segala arahan yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih.

Anak kelahiran Seremak, Pasir Puteh itu menjangkakan, perlawanan akhir sengit dan Terengganu pastinya tidak akan memberikan laluan mudah buat Kelantan.

"Terengganu pasti akan turun bermati-matian selepas mereka tumpas kepada kita baru-baru ini. Untuk itu, saya dan rakan-rakan sudah bersedia menghadapi perlawanan ini," tegasnya.

Sementara itu, Mohd. Izuan Solahuddin yang menjaring gol dalam pertemuan menentang Terengganu, mahu menjadikan penampilan kedua pada pentas akhir Piala FA sebagai penebus kekecewaan selepas tewas kepada Selangor menerusi sepakan penalti pada 2009.

Meskipun hanya memanaskan bangku simpanan pada penampilan pertamanya, dia bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik sekiranya diberi kepercayaan menggalas tugas selaku pemain utama pada perlawanan akhir tersebut.

"Pada final 2009 saya hanya menjadi pemain simpanan sahaja, namun untuk tahun ini sekiranya diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih saya akan memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut.

"Ini peluang terbaik buat saya, jadi ia harus digunakan sebaik mungkin dengan membantu pasukan meraih kejuaraan," ujarnya.

----- Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena