Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, June 14, 2011

Detik genting


Oleh Ismail Muhamaddan Hamid Salleh
bhsukan@bharian.com.my
2011/06/14

Norshahrul (kiri), bersama Annuar Musa (tengah) dan Mohd Daudsu.
Norshahrul (kiri), bersama Annuar Musa (tengah) dan Mohd Daudsu.

Kelantan perlu bangkit pastikan tragedi Piala FA tidak berulang

Lupakan tragedi Piala FA! Itu permintaan penyerang Norshahrul Idlan Talaha yang mahu rakan pemain bersemangat tinggi apabila melayani Perak di Stadium Sultan Muhammad ke- IV malam ini, seterusnya mengukuhkan cengkaman untuk membawa pulang trofi berprestij Liga Super ke Kelantan buat julung kali.
Mengakui masih diselubungi kekecewaan gagal membawa pulang Piala FA ke negeri itu, penyerang kebangsaan itu berharap kekala­han kepada Terengganu 1-2 di pentas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, tidak menjejaskan tumpuan ketika beraksi di laman sendiri.
“Apa yang lebih penting kini ialah tumpuan terhadap perlawanan dengan Perak kerana ia akan menentukan hala tuju pasukan untuk memastikan status pendahulu liga. Saya harap penyokong tetap hadir untuk menyuntik semangat pemain,” kata Norshahrul sebelum sesi latihan di Kota Bharu, semalam.

Dengan hanya dibezakan dua mata di depan Selangor dan tiga mata di depan Terengganu, situasi dalam pasukan Red Warriors ketika ini amat genting, lebih-lebih lagi Perak bimbingan jurulatih Norizan Bakar, pernah menundukkan Kelantan 4-0 di Ipoh pada pusingan pertama.

Malah, moral pemain yang berada pada tahap terendah memaksa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk hadir memberi kata-kata perangsang dan mengingatkan perjuangan bukan berakhir setakat Piala FA, sebaliknya masih ada Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini.

Jurulatih Datuk M Karathu, berharap anak buahnya bangkit terutama ketika meniti saat kritikal untuk memastikan trofi Liga Super buat pertama kali musim ini.
“Saya tahu moral pemain sedikit menurun selepas gagal Sabtu lalu, tetapi ia tidak seharusnya melunturkan semangat mereka untuk bangkit, lebih-lebih lagi saingan Liga Super kini semakin ke kemuncaknya,” katanya.

Ketika berdepan lawan lebih hebat, Terengganu yang masih dibuai kegembiraan menjulang Piala FA buat kali kedua, berdepan cabaran lebih mudah iaitu pasukan ‘adik’ T-Team tetapi pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim, mengingatkan anak buahnya supaya melupakan seketika pesta Piala FA dan berusaha mencari gol awal untuk memastikan rentak permainan tidak terjejas.

“Hanya Joseph (Kalang Tie) cede­ra tetapi pemain lain akan diturunkan untuk memastikan tiga mata dan memburu trofi Liga Super pula,” katanya.

----- Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...