Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, June 13, 2011

Cabaran Karathu naikkan semangat

JURULATIH Kelantan, Datuk M Karathu berdepan cabaran getir untuk menaikkan semula semangat anak-anak buahnya selepas kecundang pada perlawanan akhir Piala FA, malam kelmarin.

Pengendali berpengalaman yang mula membimbing Kelantan awal musim ini perlu segera mengatasi suasana suram di kalangan pemain The Red Warriors bagi menghadapi dua perlawanan getir Liga Super bagi memastikan mahkota itu tidak juga terlepas dari genggaman.

Malah Karathu mungkin berdepan kesukaran yang tidak dijangka apabila terdapat pemain yang mula mempersoalkan strategi dan percaturannya ketika berdepan Terengganu, salah satu pencabar utama untuk merebut takhta Liga Super musim ini selain Selangor.

Keputusannya menggandingkan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bersama pemain muda yang kurang berpengalaman, Mohd Izuan Solahuddin nyata gagal membuahkan hasil dan menunggu sehingga minit ke-63 sebelum menggantikannya dengan Mohd Ramzul Zahini Adenan.

“Walaupun tidak mempunyai pengalaman, dia beraksi baik minggu lalu (ketika menang 3-0 ke atas Terengganu di Liga Super). Malah malam ini (malam kelmarin) dia bekerja keras dan lawan mengawalnya dengan ketat,” katanya ketika ditanya menurunkan pemain berusia 22 tahun itu.


“Moral pemain memang sangat rendah sekarang. Saya mempunyai masa dua hari untuk memberikan motivasi kepada pemain dan berharap mereka mampu bangkit mencipta kemenangan (menentang Perak malam esok),” katanya.

Mengulas aksi di Stadium Nasional itu, Karathu berkata ia adalah perlawanan sengit dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang.

“Selepas gol penyamaan hadir, pemain hilang keyakinan untuk menguasai bola. Secara mentalnya beraksi dalam masa tambahan adalah bukan sesuatu perkara yang mudah terutamanya untuk bangkit kembali,” katanya yang enggan menyalahkan pemain pertahanannya, Mohd Daudsu Jamaludin yang menanduk masuk bola ke gawang sendiri.

Jaringan sendiri bekas pemain kebangsaan ketika beberapa saat masa kecederaan berakhir membolehkan Terengganu menyamakan kedudukan 1-1 selepas Mohd Nurul Azwan Roya meletakkan juara Piala Sultan Ahmad Shah 2011 itu di depan pada minit ke-80. Ia sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan dengan pemain gantian, Ahmad Nordin Alias meledak gol kemenangan pada minit ke-110.

----- Harian Metro Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...