Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, June 11, 2011

Bina stadium bertaraf dunia

KOTA BHARU-Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membayangkan satu stadium bola sepak bertaraf dunia berkonsepkan stadium Cardiff City akan dibina di negeri ini dalam sedikit masa lagi khusus untuk perlawanan bola sepak sahaja.

Presidennya, Tan Sri Anuar Musa memberitahu pemberita semalam, ketika berada di Kuala Lumpur kelmarin beliau dikunjungi sekumpulan pihak swasta yang membentangkan kertas cadangan berkaitan pembinaan stadium bola sepak berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi sebenar pembinaannya dan hanya membayangkan ia bakal dibina berhampiran kawasan Kota Bharu serta turut menyediakan tempat bagi akademi bola sepak.

Anuar berkata, pada masa ini juga Kafa memberi kerjasama kepada satu kumpulan swasta anak-anak Kelantan yang telah mengumumkan satu kertas cadangan yang lengkap.

“Sehubungan itu, Kafa akan membentuk jawatankuasa teknikal untuk membuat penelitian kerana kita sudah mendapat cadangan yang agak menyeluruh berkaitan stadium, mengenai reka bentuknya dan pembangunan di kawasan sekitarnya juga.

“Jawatankuasa ini juga akan bertanggungjawab membentuk reka bentuk stadium yang bersesuaian untuk kegunaan bola sepak bertaraf dunia,” katanya semalam.

Terdahulu beliau bersama petani sempena Program Pemulihan Bendang Kampung Betong, Salor dekat sini semalam.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu akan menghadap Sultan Muhammad V bagi membincangkan perkara tersebut dan sekiranya diperkenankan langkah seterusnya bakal dilaksanakan untuk pembinaan stadium terbabit.

Sementara itu, beliau juga turut mengalu-alukan pembinaan stadium baru di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang diumumkan Kerajaan negeri Kelantan bulan lalu.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media bahawa stadium baru itu boleh memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid.

Anuar berkata, Kafa adalah pengguna dan berharap ia segera menjadi kenyataan meskipun pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat berhubung stadium itu selain apa yang dikatakan Nik Aziz pada hari pengumumannya itu.

----- Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...