Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, May 22, 2011

Tugas sukar jinak Harimau Muda (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Pendahulu liga, Kelantan dijangka berhadapan tugas sukar untuk menjinakkan Harimau Muda ‘A’ apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kejayaan pasukan kendalian Ong Kim Swee mengalahkan T-Team dengan kemenangan 3-1 dan mengatasi Sabah 2-0 di gelanggang lawan, sebelum tunduk melawan 1-2 kepada Terengganu di Shah Alam tempoh hari, memberi isyarat hasrat meraih tiga mata tidak semudah disangkakan.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui, pertemuan menentang Harimau Muda ‘A’ malam ini, merupakan antara ujian terpenting baginya dalam menentukan hala tuju Kelantan memburu kejuaraan pertama, tatkala saingan liga hanya berbaki enam perlawanan untuk ditamatkan.

“Saya sesekali tidak memandang rendah kemampuan pasukan berstatus skuad kebangsaan ini. Buktinya kita pernah menghadapi kesukaran mengalahkan mereka di Kota Bharu pada pertemuan pusingan pertama tidak lama dulu.

“Biarpun dibarisi rata-rata pemain muda, namun saya melihat ini merupakan satu cabaran getir kepada pemain senior Kelantan untuk mencatatkan kemenangan malam ini. Standard pasukan ini, sama seperti dengan pasukan yang lain. Jelas mereka mempunyai ramai pemain muda yang berkualiti dan mampu memberi saingan kepada pemain kita.

“Anda sendiri pun dapat lihat, mereka mampu mengalahkan pasukan yang kuat seperti T-Team dan Sabah di gelanggang lawan. Saya tidak mahu mimpi buruk seperti itu, terjadi kepada pasukan kita pada saat persaingan sengit bagi memburu kejuaraan liga kian hangat. Cuma saya berdoa, kita tidak boleh tercicir mata lagi dalam baki perlawanan selepas ini,” katanya.

Menurutnya, beliau dijangka melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama pemain dengan watak penyerang veteran, Muhammad Khalid Jamlus sudah pasti disisihkan kerana mengalami kecederaan, sementara peluang pemain muda, Muhammad Ramzul Zahini Adenan tampak begitu cerah untuk disenaraikan.

“Segala-galanya hanya dapat ditentukan selepas sesi latihan pasukan pada petang ini (semalam). Sudah pasti Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) akan diturunkan bergandingan dengan Norshahrul Idlan (Talaha). Selebihnya saya masih mengkaji formasi pasukan dan mencongak strategi yang akan kita gunakan untuk perlawanan ini.

“Saya perlukan pemain yang cergas dan mampu memberikan lebih daripada 100 peratus dalam perlawanan ini. Kita mengharungi tiga perlawanan yang sengit sejak seminggu lalu. Cuma yang melegakan saya ialah semua pemain utama bebas daripada dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

“Apa yang penting, saya mahu pemain saya bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit sekiranya kita tidak mahu kecewa pulang ke Kota Bharu. Amat penting kita meraih tiga mata dalam perlawanan ini kerana saingan liga hanya tinggal enam perlawanan lagi untuk ditamatkan,” katanya.

Dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu pada 1 April lalu, Kelantan mengalahkan Harimau Muda ‘A’ 2-1 menerusi jaringan Solehin Kanasian Abdullah dan S Chanturu sebelum dibalas menerusi jaringan Mohd Irfan Fazail pada minit-minit akhir babak pertama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...