Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, May 19, 2011

Selangor tekad balas dendam (Berita Harian Online)

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2011/05/19

Skuad Devan mahu tebus kekalahan pusingan pertama kepada T-Team

KEKECEWAAN saingan Piala FA sudah dilupakan dan Selangor bakal turun ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini dengan misi menebus kekalahan kepada T-Team pada pusingan pertama dan terus mengukuhkan kedudukan di takhta Liga Super.
Kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah berkata, dia dan rakan sepasukan bertekad untuk berjuang habis-habisan menentang kelab dari Pantai Timur walaupun menyedari ada kalangan mereka masih sukar melupakan kekalahan besar 6-2 secara agregat kepada Kelantan yang menyaksikan mereka tersingkir pada separuh akhir Piala FA Isnin lalu.
“Kami semua sudah diingatkan oleh jurulatih, K Devan supaya melupakan keperitan kekalahan Piala FA itu dan tumpukan sepenuh perhatian untuk saingan liga dan mencatat sejarah muncul pasukan pertama mencatat hatrik menjuarai Liga Super,” katanya semalam.

Selangor yang kini menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 42 mata daripada 19 perlawanan, tewas kepada T-Team 2-0 pada aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Shah Alam 9 April lalu.

Amri yang juga penjaring kedua terbanyak skuad Merah Kuning itu dengan himpunan 4 gol setakat ini berkata, selain kecederaan yang melanda beberapa tonggak skuad itu, satu lagi cabaran yang menanti mereka di Kuala Terengganu hari ini ialah beraksi di sebelah petang buat pertama kali musim ini.

Menurut Amri, walaupun Selangor pernah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sebelah petang, keadaan cuaca agak panas mungkin akan memberi kesan terhadap prestasi pemain terutama selepas kepenatan mengharungi jadual liga yang padat ketika ini.
“Apapun, kami tidak rasakan ia masalah besar kerana lawan juga terpaksa mengharungi keadaan serupa. Apa yang penting kami mahu pastikan Selangor tidak kalah lagi dan terus kekal di takhta liga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena