Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, May 17, 2011

Ramzul mahu terus ledak gol (Utusan Malaysia Online)


Muhammad Ramzul Zahini (kiri) dan Norshahrul ketika menyertai sesi latihan pasukan Kelantan di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU - Sentuhan memukau yang ditampilkan oleh penyerang muda The Red Warriors, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dengan meledak dua gol ketika membantu pasukannya menumbangkan Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu memberikan petanda bahawa dia sudah bersedia untuk kembali menggalas tugas selaku penggempur utama.

Turun selaku pemain utama pada perlawanan itu, anak kelahiran Kampung Kangkong, Pasir Mas itu, ternyata pantas menyambar peluang yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu dengan mempamerkan sentuhan berbisa menyebabkan skuad bimbingan K. Daven bagaikan dipukau aksi mantap The Red Warriors.

Muhammad Ramzul berkata, dia semakin bersemangat untuk kembali merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.

Beliau berkata, dua gol yang dijaringkan pada perlawanan itu amat bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius ketika bertemu Negeri Sembilan awal Mac lalu.

"Ini merupakan dua gol pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini. Saya berterima kepada ketua jurulatih kerana memberikan peluang kepada saya untuk kembali ke dalam pasukan selepas aksi dengan Kuala Lumpur 30 April lalu.

"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga perlawanan sebelum ini, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali merebut tempat dalam pasukan. Alhamdulillah saya berjaya kembali dan menjaringkan gol semangat buat pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, dua jaringan di Stadium Shah Alam tempoh hari adalah hasil bantuan rakan-rakan yang banyak membuka peluang kepadanya untuk membuktikan ketajaman penyudah.

Bekas bintang Piala Presiden Kelantan musim 2006 itu memberitahu, keyakinannya bertambah selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut yang turut melonjakkan semula moralnya untuk terus mempamerkan aksi terbaik.

"Sekiranya terus diberikan peluang untuk perlawanan malam esok (ini), saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas itu dan cuba membantu pasukan layak ke pentas akhir buat kali kedua seterusnya membawa kejuaraan Piala FA ke Kota Bharu.

"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang sedia ada, itu bukan alasan. Apa yang penting saya kena terus berusaha dan belajar dari mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa terutama daripada rakan sepasukan Norshahrul Idlan Talaha," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...