Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, May 21, 2011

PKNS Sahkan Juara Liga Perdana Musim Ini, Tumpaskan Johor 2-0

PETALING JAYA, 20 Mei (Bernama) -- Selangor PKNS mengesahkan diri sebagai juara Liga Perdana musim ini walaupun masih berbaki tiga perlawanan setelah menewaskan Johor 2-0 pada perlawanan bola sepak liga itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Jumaat.

Skuad anak didik Abd Rahman Ibrahim sekaligus mengekalkan rentak cemerlangnya dengan melebarkan pungutan mata di persada liga dengan kedudukan 51 mata, 12 mata di hadapan Sarawak dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 19 perlawanan serta hanya bolos 5 gol sepanjang musim ini.

Abd Rahman berkata kemenangan ini nyata mengejutkan pasukan mereka dan beliau memuji semangat juang yang dipamerkan oleh anak buahnya sepanjang musim ini.

"Mereka telah menunjukkan satu permainan yang memberangsangkan dan saya berbangga dengan pencapaian kita yang tidak pernah kalah dan hanya bolos 5 gol setakat ini.

"Saya harap mereka akan terus memburu kemenangan seterusnya pada tiga lagi perlawanan akan datang untuk mengekalkan juara tanpa kalah musim ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan Jumaat malam, dua gol masing-masing disumbat oleh Ahmad Tarmini Saiban pada minit ke-56 hasil sepakan percuma yang diambil oleh kapten pasukan, Mohd Fadhil Hashim dan satu lagi gol disumbat oleh sepakan kencang yang dibuat oleh Mohd Azrif Nasruhaq pada minit ke-72.

Di KUCHING, dua jaringan Khairul Azahar Eidros pada minit ke-74 dan 90 serta satu gol dari Bobby Gonzales pada minit ke-78 memastikan pasukan tuan rumah menang selesa setelah membelasah Pos Malaysia 3-0 pada aksi di Stadium Negeri.

Kemenangan itu membolehkan Sarawak terus berada di kedudukan kedua carta liga dengan kutipan 39 mata selepas 19 perlawanan setakat ini.

Di Pulau Pinang, dua jaringan Muhamad Ikram pada minit ke-29 dan 54 menyaksikan SDM Navy memperoleh kemenangan yang kedua sepanjang liga berlangsung apabila menang tipis 2-1 menewaskan Sime Darby pada aksi di Stadium Batu Kawan.

Gol sagu hati pelawat hadir pada minit ke-68 yang dijaringkan oleh Mohd Faiz Mohd Isa.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Pulau Mutiara menyaksikan pasukan kelab dari Universiti Sains Malaysia (USM) FC menang tipis 1-0 mengatasi Harimau Muda B yang dijaringkan oleh Muhammad Afzan Zainal Abidin seawal minit keempat pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Olahraga USM.

Di JOHOR BAHRU pasukan kelab dari Johor Majlis Perbandaran (MP) Muar gagal menggunakan peluang terbaiknya beraksi di tempat sendiri apabila sekadar terikat seri 2-2 kepada Pos Malaysia pada aksi di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Dua gol tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Muhammad Fauzi Abdul Kahar pada minit ke-47 dan Mohd Fitri Omar (min-61) sementara gol posmen masing-masing dijaringkan oleh Mohd Hanifuddin (min-22) dan Khairul Zal Azmi pada minit ke-63.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kemenangan tipis 1-0 pada pertemuan menentang pasukan tercorot liga, Pulau Pinang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...