Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, May 14, 2011

Pesta Kelantan (Berita Harian Online)

Oleh Ahmad Fiesal Othman dan Mohd Fitrie Muhamad
bhsukan@bharian.com.my
2011/05/14

Foto
Norshahrul Idlan Talaha (tengah) meraikan kejayaan menyumbat gol buat pasukan Kelantan menentang Selangor pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di Shah Alam, malam tadi.

Dapat bekalan selesa di Shah Alam

KELANTAN sudah sebelah kaki untuk mengulangi kemaraan layak ke final Piala FA buat musim kedua berturut-turut selepas membuat kejutan membelasah Selangor 5-1 dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan itu juga mengekalkan rekod bersih The Red Warriors ke atas Selangor dalam tiga pertemuan mereka, musim ini selepas dua kali menewaskan anak buah K Devan dalam pertembungan Liga Super termasuk perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.
Kesungguhan Kelantan memburu kemenangan ke atas lawan yang mengecewakan mereka 4-1 pada final 2009 menerusi penentuan penalti itu terserlah sejak awal lagi dan nyaris membuka jaringan seawal minit ketiga, namun rembatan Mohd Nurul Azwan Roya dari jarak kira-kira 30 meter sekadar menggegar tiang gol.

Usaha pelawat membutirkan hasil pada minit ke-11 menerusi rembatan kencang Mohd Ramzulzahini Adenan yang memanfaatkan bola muntah daripada tampanan penjaga gol, Mohd Saiful Amar Sudar selepas dua percubaan awal Mohd Nurul Azwan dan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.

Gol itu nyata menyemarakkan anak buah Karathu dan minit ke-40, Mohd Ramzulzahini menambah satu lagi gol sebelum kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi menjadikan kedudukan 3-0, dua minit sebelum rehat selepas menolak masuk hantaran Mohd Nurul Azwan.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus bernafsu untuk menambah gol dan memaksa pasukan Merah-Kuning lebih banyak bergantung kepada serangan balas untuk mencari gol.
Devan kemudian membuat dua pertukaran serentak dengan memasukkan Rudie Ramli menggantikan Mohd Fadzli Saari dan Mohd Fitri Shazwan menggantikan Hardi Jaafar untuk menguatkan jentera tengah dan serangannya.

Percaturan itu bagaimanapun tidak membawa banyak perubahan, sebaliknya Kelantan yang berjaya menambah dua lagi gol menerusi Mohd Nurul Azwan m-67, Norshahrul Idlan m-71, sebelum Mohd Amri Yahyah meraih gol sagu hati buat Selangor pada minit terakhir permainan untuk menjadikan kedudukan muktamad 5-1.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena