Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, May 18, 2011

"Penyudah kurang menjadi" (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA memberi pengertian seribu makna buat pengendali pasukan Kelantan, Datuk M Karathu biarpun anak didiknya gagal melakarkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA malam semalam, Kelantan sekadar seri 1-1 dengan Selangor, namun layak ke perlawanan akhir menerusi kiraan agregat 6-2. Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Shah Alam tempoh hari, Kelantan menang besar 5-1 ke atas lawan yang sama.

Karathu berkata, keputusan seri ketika menentang Selangor malam semalam sudah memadai bagi membolehkan The Red Warriors melangkah ke perlawanan akhir menentang Terengganu yang dijadualkan pada 11 Jun depan.

“Malam ini pun, anda lihat saya tidak menurunkan Norshahrul Idlan (Talaha) dan Mohd Nurul Azwan (Roya) kerana mereka mengutip satu kad kuning dan saya tidak mahu terlepas khidmat mereka dalam perlawanan akhir nanti.

“Sekalipun turun tanpa dua tonggak pertahanan yang menjalani penggantungan satu perlawanan namun kita menguasai perlawanan pada babak pertama. Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) mempunyai t peluang malah S Chanturu juga mempunyai peluang tetapi satu pun tidak diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

“Saya akui penyudah kita tidak begitu menjadi dalam perlawanan ini. Sekiranya kita mempunyai penyerang yang tajam di depan pintu gol, saya rasa kita sudah dapat menjaringkan tiga gol pada babak pertama. Namun saya cukup berpuas hati dengan prestasi pemain muda yang menjalankan tugas mereka dengan cemerlang malam ini,” katanya.

Karathu berkata, beliau turut memujikan persembahan yang ditunjukkan oleh penyerang veteran, Muhammad Khalid Jamlus yang dilihat mampu beraksi dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan itu berlangsung, walaupun tahap kecergasan pemain itu kadang-kala diragui.

“Mohd Shakir (Shaari) seorang pemain yang cukup bagus. Dia memiliki karakter yang lengkap selaku pemain tengah Kelantan terbaik ketika ini. Saya tidak boleh menukar dia kerana terbukti dia menunjukkan prestasi yang baik dalam setiap perlawanan,” katanya

Sementara itu ketika mengulas mengenai corak pasukan lawan, Karathu berkata, pada babak pertama Selangor dilihat mengamalkan corak permainan berhati-hati, sambil menunggu barisan pemain Kelantan melakukan kesilapan sebelum melakukan serangan balas.

“Memang Selangor tidak kerap sangat menyerang dan mereka hanya menunggu untuk mengambil peluang di sebalik kesilapan kita.

“Saya lihat bila kita menyerang, tetapi pemain kita kehilangan bola, mereka akan cepat-cepat melakukan serangan balas pantas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...