Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, May 25, 2011

Motivasi tinggi benam T-Team (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Pertemuan menarik dua musuh baru bola sepak tempatan, Kelantan menentang T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini dijangka membuka dimensi baru bagi kedua-dua pasukan bagi melebarkan rekod kemenangan masing-masing.

Rekod pertemuan sepanjang musim ini seimbang di mana kedua-dua pasukan masing-masing menang sekali daripada dua pertemuan sebelum ini. Dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super, skuad kendalian Ahmad Yunus Aliff menang tipis 4-3 di Kuala Terengganu sementara aksi pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA, Kelantan berjaya menyingkirkan T-Team menerusi sepakan penalti 6-5 setelah terikat seri 1-1.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, pertemuan menentang T-Team memberikan signifikan tersendiri sambil perjuangan The Red Warriors dalam mengejar kejuaraan liga sudah pasti dihimpit dengan dua pencabar terdekatnya, Terengganu dan Selangor yang turut mengintai peluang untuk memintas Kelantan.

“Kekalahan 4-3 pada pusingan pertama masih lagi dirasai. Jelas saya tidak mahu kecewa lagi dan pertemuan ini harus menjadi medan kebangkitan pemain Kelantan untuk memadamkan keegoan T-Team dengan mencipta kemenangan.

“Saya tidak mahu merendah diri kali ini dan penting saya katakan betapa Kelantan harus menang di hadapan penyokong sendiri. Biarpun T-Team bersemangat tinggi untuk menghadapi kita, namun kita juga mempunyai motivasi tinggi untuk menang pada pertemuan kali ini. Saya fikir sokongan peminat tempatan juga bakal menyemarakkan pemain kita untuk beraksi cemerlang malam ini.

“Satu perkara yang saya ingatkan kepada pemain, walaupun kadang-kala aksi T-Team tidak konsisten, namun kebangkitan dengan mereka mengalahkan Selangor 2-1 dan mengatasi Sabah 3-1 membuktikan pasukan kelab yang dibarisi rata-rata pemain berpengalaman itu tidak boleh dipandang mudah,” katanya.

Karathu berkata, kegagalan mengutip mata penuh di Shah Alam tempohari memberi ilham kepada beliau untuk melakukan sedikit rombakan terhadap pasukan bagi merangka strategi ampuh.

“Mohd Daudsu (Jamaluddin) terpaksa diketepikan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan. Tempat dia akan diisi oleh Mohd Farisham (Ismail) yang akan bermain di posisi bek kanan sementara Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) kembali menerajui pertahanan tengah bergandingan bersama S Subramaniam.

“Besar kemungkinan Solehin Kanasian (Abdullah) bakal kembali di posisi sayap kanan sambil tugas penggempur digalas S Chanturu yang akan berpasangan dengan Norshahrul Idlan (Talaha). Ada kemungkinan juga saya merehatkan Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) yang melepaskan banyak peluang dalam pertemuan menentang Harimau Muda tempohari,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...