Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, May 11, 2011

Kelantan gagal pintas Selangor


SEREMBAN – Kelantan melepaskan peluang terbaiknya untuk kembali menerajui takhta Liga Super setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Keputusan seri itu membolehkan Selangor kembali mengungguli carta liga dengan kelebihan dua mata, sementara The Red Warriors memilih laluan sukar untuk memburu kejuaraan liga tatkala saingan liga hanya berbaki tujuh perlawanan lagi.

Seawal minit kedua, Negeri Sembilan yang melakukan sepak mula perlawanan, diuji menerusi sepakan percuma Danial Fadzly Abdullah yang menyaksikan rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Mohd Farizal Harun.

Tiga minit kemudian, pemain sayap Negeri Sembilan, S Kunalan mencuri tumpuan apabila melakukan sepakan lambung daripada jarak jauh namun mudah bagi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

Pada m-20, umpanan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi kepada Mohd Nurul Azwan Roya disia-siakan apabila dia yang tidak dikawal pemain tuan rumah hanya menyepak liar ke arah pintu gol Negeri Sembilan.

Dua minit kedua, penyerang tuan rumah, Shahurain Abu Samah hampir meletakkan pasukannya di depan namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti kali ini diselamatkan Khairul Fahmi.

Lima minit berselang, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bijak memperdayakan Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak didalam kotak penalti namun rembatannya pula tinggi melewati pintu gol pasukan tuan rumah.

Pada m-33, pemain yang mendapat jolokan “Kelantan Ekpres’, S Chanturu berjaya meletakkan bola di dalam gawang gol namun pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut setelah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Percaturan Mohd Azraai Khor Abdullah Negeri Sembilan memasukkan Abdul Halim Zainal pada m-35 jelas memberi nafas baru kepada corak serangan pasukan mereka. Pada m-38, Shahurain yang bijak memanfaatkan ‘dummy’ Hairuddin Omar sekali lagi mensia-siakan peluang terbaiknya apabila rembatannya menerjah jaring sisi sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Minit akhir babak pertama, Mohd Shukor Adan gagal memastikan pasukannya berada dalam keadaan selesa sebelum menuju bilik persalinan apabila tandukan cantiknya diselamatkan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.

Penguasaan jelas milik pasukan tuan rumah apabila mula melancarkan serangan bertali arus sebaik sahaja perlawanan disambung pada babak kedua.

Baru tiga minit bersambung, Negeri Sembilan hampir memperolehi gol namun Mohd Shukor sekali lagi gagal menolak bola ke gawang gol Kelantan biarpun berjaya melepasi kekangan pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin di depan pintu gol.

Malah pemain tengahnya, Qhairul Anwar Roslani turut mempunyai dua peluang terbaik pada m-52 menerusi rembatannya yang menyaksikan tersasar di sebelah kiri pintu gol sementara percubaannya tiga minit kemudian selepas itu diselamatkan Khairul Fahmi.

Berbeza dengan babak pertama, corak permainan Kelantan jelas begitu tenggelam pada babak kedua. Tempoh setengah jam babak kedua berlangsung menyaksikan tidak ada satu pun gerakan merbahaya yang dilancarkan pasukan Kelantan ke pintu gol tuan rumah.

Malah pergerakan penjaring gol terbanyak Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha turut terbatas apabila dikawal ketat oleh dua pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Aidil Zafuan dan Irwan Fadzli Idrus.

Kombinasi menarik di bahagian tengah pasukan Negeri Sembilan yang diketuai Mohd Shukor sambil dibantu Abdul Halim dan S Kunalan cukup bertenaga mencipta gerakan menarik untuk menembusi pintu gol Kelantan.

Pada m-81, rembatan Abdul Halim tinggi melewati palang sementara percubaan Shahurain selepas itu tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Bijak memperdayakan Mohd Farisham Ismail dibenteng pertahanan Kelantan, Hairuddin turut mensia-siakan peluang terbaik untuk meletakkan Negeri Sembilan didepan pada m-83 apabila rembatan kencangnya ditepis keluar Khairul Fahmi.

Satu-satu peluang terbaik Kelantan hadir seminit selepas itu apabila larian solo Norshahrul Idlan mampu menewaskan dua pemain pertahanan tuan rumah namun kesudahannya sepakan lemahnya mudah diselamatkan Mohd Farizal.

Minit-minit akhir perlawanan, hantaran lintang Chanturu membolehkan Muhammad Khalid Jamlus menampan bola ke dalam pintu gol Negeri Sembilan namun pengadil perlawanan, Shokri Nor sekali lagi membatalkan jaringan tersebut setelah dia dikesan berada di dalam kedudukan ofsaid.


Barisan kesebelasan utama:

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya (Mohd Izuan Salahuddin), Danial Fadzly Abdullah (Muhammad Khalid Jamlus), Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha (Mohd Nizab Ayub).

Formasi: 4-5-1



NEGERI SEMBILAN: Mohd Farizal Harun (KP), Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Irwan Fadzli Idrus, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Qhairul Anwar Roslani (Idris Abdul Karim), Mohd Fiqri Azwan (Abdul Halim Zainal), Mohd Shukor Adan, Mohd Aliff Samsudin, S Kunalan, Shahurain Abu Samah dan Hairuddin Omar.

Formasi: 4-4-2

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...