Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, May 18, 2011

Faktor penggempur (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/05/18

pix_gal0
Senjata tambahan jadi penentu skuad Karathu, Irfan ke final Piala FA

TUGAS berat menanti dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Sharbinee Allawee (gambar) pada final Piala FA antara Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun nanti yang bakal menyaksikan pertembungan dua pasukan dengan peledak berbisa musim ini.

Kelantan mara ke final selepas menewaskan Selangor dengan agregat 6-2 manakala Terengganu mengecewakan Pahang dengan agregat 5-2, membuktikan kehebatan barisan serangan masing-masing membocori gawang lawan di timbal balas separuh akhir.
Kini, ketangkasan dan kecekapan dua penjaga gol kebangsaan itu dijangka menjadi penentu untuk menghalang kubu masing-masing kerana Kelantan dan Terengganu menampilkan barisan penyerang cukup ampuh untuk menjelmakan gol.

Kelantan mempunyai gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Badri Radzi yang gah di tangga teratas dan ketiga senarai penjaring terbanyak Liga Super manakala Terengganu bakal mencabar dengan kelicikan Abdul Hadi Yahaya dan Mohd Ashaari Samsudin yang mengisi tangga kedua dan keempat.

Sehubungan itu, kedudukan tangga kedua Liga Super yang dihuni Kelantan serta tangga ketiga Terengganu ketika ini, bukan satu kebetulan.

Namun bukan dua penyerang berbisa itu saja yang menjadi senjata skuad bimbingan M Karathu dan Irfan Bakti Abu Salim.

Kelantan juga mempunyai Nurul Azwan Roya dan S Chanturu manakala Irfan mempunyai Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi Ashari dan Reeshafiq Alwi untuk mempertajamkan asakan dan membocori gawang lawan.

Tidak hairan, pentas final Piala FA 11 Jun ini paling sengit dan bakal menemukan dua pasukan dengan kekuatan seimbang serta mempunyai senjata tersendiri serta misi penting - Kelantan mahu menjulang trofi Piala FA buat kali pertama dan Terengganu memburu kejuaraan kedua selepas 2000.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...