Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, May 11, 2011

Devan tidak rela kalah lagi (Harian Metro Online)


Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PERSAINGAN dua kuasa bola sepak tempatan, Selangor dan Kelantan dalam merebut kejuaraan Liga Super musim ini dilupakan seketika apabila kedua-dua pasukan itu kini mengalih tumpuan dalam saingan memburu tiket final Piala FA apabila bertemu pada separuh akhir pertama Jumaat ini.

Malah Selangor di bawah kendalian jurulatih K Devan dilihat terdesak untuk membuktikan kemampuan sebenar gergasi Merah Kuning itu selepas kecundang dua perlawanan Liga Super musim ini, termasuk gagal mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada perlawanan Sumbangsih.

“Saya tidak mahu tewas lagi dan mengharapkan pemain akan memberikan sepenuhnya kerana kami sudah tewas dua kali musim ini kepada Kelantan. Kesilapan mudah membabitkan barisan pertahanan seperti aksi perlawanan Sumbangsih seharusnya tidak berulang terutamanya pada peringkat ini,” katanya yang juga memikul tugas sebagai pengurus Selangor.

Tambah pengendali berusia 50 tahun itu, kemenangan dengan sekurang-kurangnya dua gol perlu direalisasikan oleh anak-anak buahnya bagi menghadapi perlawanan separuh akhir kedua di tempat lawan dan paling penting, tidak melepaskan sebarang gol kerana Piala FA menggunakan peraturan jaringan di tempat lawan.

“Saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada jentera serangan Selangor setakat ini untuk melakukannya walaupun jumlah jaringan kami berkurangan dalam Piala FA dan Liga Super tanpa kehadiran Mohd Safee Sali (bekas penyerang Selangor), namun kami sudah sampai berjaya sampai ke tahap ini. Jadi peluang seperti ini tidak seharusnya disia-siakan begitu saja,” katanya.

Selangor bagaimanapun kehilangan dua tonggak dalam pertembungan penting itu selepas pertahanan, Khairul Anuar Baharom dan Mohd Razman Roslan tersisih akibat kecederaan.

Keputusan perlawanan itu pastinya sukar diramal selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi konsisten dalam saingan Liga Super.

Selepas bertarung 90 minit di Stadium Shah Alam, aksi separuh akhir kedua akan berlangsung di Kota Bharu pada 16 Mei ini bagi menentukan pasukan yang layak bersaing di final pada 11 Jun depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena