Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, May 18, 2011

Devan beralih tumpuan buru hatrik kejuaraan Liga Super (Berita Harian Online)

Oleh Ahmad Fiesal Othman

fsal@bharian.com.my
2011/05/18

“KAMI sudah lupakan kegagalan Piala FA dan kembali memberi tumpuan mempertahankan kejuaraan liga dan berazam mencatat sejarah muncul pasukan pertama mencatat hatrik menjuarai Liga Super,” kata jurulatih Selangor K Devan sejurus Selangor tersingkir di separuh akhir kedua Piala FA kepada Kelantan di Kota Bahru, semalam.

Devan berkata, walaupun tidak menyangka Selangor tersingkir dengan agregat besar 6-2, mereka sudah boleh menerima hakikat perit itu dan bertekad memperbaiki prestasi pada saingan liga yang disambung dengan perlawanan menentang T-Team di Kuala Terengganu, esok.

“Inilah kenyataan dalam bola sepak, kadang-kadang menang dan ada kalanya boleh kalah dengan jumlah jaringan besar,” katanya.
Selangor kini menduduki tangga teratas Liga Super dengan 42 mata selepas 19 perlawanan, dua mata mengatasi Kelantan yang menduduki tangga kedua, tetapi Devan mengakui, bukan mudah mengekalkan prestasi cemerlang liga, terutama ketika berdepan masalah kecederaan ramai tonggak ketika ini.

Antara pemain Selangor yang masih cedera ialah Mohd Fadzli Saari, Khairul Anuar Baharom, Mohd Safiq Rahim, Mohd Amirul Hadi Zainal, Mohd Razman Roslan dan Mohd Nasriq Baharom.

Begitupun, Fadzli dan Nasriq dijangka dapat diturunkan untuk perlawanan menentang T-Team sambil mengharap kapten kebangsaan, Safiq yang direhatkan pada separuh akhir kedua di Kota Bahru kelmarin, mampu tampil lebih cergas bagi pertemuan menentang kelab Pantai Timur itu.

Satu lagi perkara memeningkan Devan ialah memilih penjaga gol, sama ada mengekalkan Saiful Amar Sudar yang beraksi buruk ketika kekalahan 5-1 kepada Kelantan di Shah Alam atau menurunkan Mohd Iqbal Suhaimi yang direhatkan sejak pertemuan pusingan pertama menentang T-Team 9 April lalu tetapi menunjukkan prestasi memberangsangkan di Kota Bahru kelmarin.

“Saya akan menilai semula prestasi kedua-dua penjaga gol sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...