Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, May 14, 2011

619 minit tanpa bolos (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Reputasi Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gol utama kebangsaan pernah diragui gara-gara beliau mempamerkan prestasi buruk ketika menjaga gawang gol The Red Warriors sepanjang perlawanan April lalu.

Sebanyak 11 gol yang dilepaskan dalam empat perlawanan iaitu merangkumi perlawanan menentang Pahang (0-2), Harimau Muda ‘A’ (2-1), T-Team (3-4), dan Perak (0-4) bukannya satu jumlah yang sedikit bagi seorang penjaga gol bertaraf kebangsaan.

Namun, situasi itu kini berbeza sama sekali. Rekod tanpa bolos dalam enam perlawanan dengan kali terakhir pintu golnya dibolosi pada pertemuan menentang Perlis di Kangar pada 19 April lalu membuktikan dia kini kembali ke kemuncak prestasinya.

Khairul Fahmi ketika dihubungi mengakui keterujaannya sementelah rekod tanpa bolos 619 minit itu kini mengatasi rekod yang dilakukan oleh rakan sepasukannya, Shahrizan Ismail selama 488 minit dua tahun lalu.

“Tidak terfikir pun untuk melakukan seperti itu (memecahkan rekod) kerana tugas saya sudah pasti tidak mahu gawang gol Kelantan dibolosi. Rekod itu menjadi perangsang kepada saya untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi apabila turun menentang Selangor malam esok (ini).

“Ini bukan kejayaan saya seorang kerana ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukan lain yang bergerak sebagai satu pasukan. Saya berharap malam esok (ini) prestasi rakan-rakan yang lain berada di tahap tertinggi.

“Memang format pertandingan Piala FA berbeza kerana menggunakan peraturan gol di tempat lawan. Kalau Selangor hendak menang, kita pun hendak menang juga. Insya-Allah saya percaya kita mampu melakarkan kemenangan dengan syarat semua pemain bekerja lebih keras malam esok (ini),” katanya.

Menurutnya, sekiranya semua pemain beraksi mengikut arahan jurulatih, tidak ada sebab bagi pasukannya untuk tidak boleh mencatatkan kemenangan ke atas Selangor di Stadium Shah Alam malam esok.

“Kita mahu mencari bekalan selesa bagi dibawa pulang ke Kota Bharu. Sebarang kesilapan kecil harus dielakkan dan saya percaya percaturan taktikal jurulatih Datuk M Karathu mampu mengecewakan anak buah K Devan di hadapan penyokong mereka sendiri.

“Saya dan rakan sepasukan yang lain sudah pasti bermain mati-matian malam esok (ini). Saya berharap kemenangan berpihak kepada kita. Sudah pasti sokongan peminat Kelantan ditagih bagi membolehkan Gelombang Merah menakluki Stadium Shah Alam, malam esok (ini),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...