Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, April 27, 2011

Red Warriors menang tipis (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU – Kelantan terus mengekalkan rekod cemerlang beraksi di gelanggang sendiri setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pendahulu liga, Selangor dalam aksi perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Jaringan tunggal penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit keempat perlawanan sudah cukup untuk memastikan The Red Warriors terus unggul mengutip tiga mata penting bagi memburu kejuaraan liga pertama musim ini.

Beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong setia The Red Warriors, anak buah Datuk M Karathu turut mendapat suntikan semangat apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut berangkat mencemar duli menyaksikan perlawanan malam tadi.

Seawal minit keempat, pintu gol Selangor dibolosi menerusi jaringan Norshahrul Idlan. Berpunca lontaran ke dalam yang dilakukan Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri Radzi menanduk ke belakang dan Norshahrul Idlan pantas menanduk masuk untuk gol tunggal Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Ternyata gol awal tersebut memberi kejutan kepada anak buah K Devan yang dilihat baru hendak menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan mereka dalam perlawanan itu.

Namun, dua minit kemudian, Selangor memperolehi peluang pertama untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak dekat P Gunalan yang menyaksikan penjaga go Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa menepis sepakan tersebut.

Pada minit kelapan, Kelantan hampir memperolehi gol kedua gara-gara kesilapan Azidan Sarudin yang tertampan bola ke gawang gol Selangor yang berpunca sepakan sudut Danial Fadzly Abdullah namun penjaga gol, Saiful Amar Sudar berada tepat di kedudukannya menyelamatkan situasi merbahaya itu.

Pada m-23, pasukan pelawat sekali lagi hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik Mohd Nasriq Baharom yang sedikit melewati palang gol Kelantan berpunca sepakan percuma Shafiq Rahim sebelum itu.

Pada m-28, kesilapan Saiful Amar yang gagal membaca tepat rembatan Norshahrul Idlan daripada penjuru sebelah kiri padang hampir membawa padah apabila bola rembatan Norshahrul Idlan hanya melintasi pintu gol Selangor, namun tiada pemain Kelantan menyempurnakan rembatan tersebut.

Sementara itu, pada m-37, tindakan pemain tengah Selangor, Mohd Hardi Jaafar mengasari S Chanturu mengundang padah apabila dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada perlawanan malam tadi.

Dua minit selepas itu, giliran Ketua Pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah pula melepaskan peluang terbaiknya apabila rembatannya ditepis Khairul Fahmi sementara S Subramaniam pantas menyepak keluar bola di depan pintu gol bagi menyelamatkan keadaan merbahaya itu.

Seminit babak kedua bersambung, kesilapan benteng pertahanan Kelantan yang lambat mengeluarkan bola daripada kawasan pintu gol hampir dihukum menerusi rembatan Mohd Amri yang menyaksikan tiang gol menjadi penghalang bagi Selangor untuk menyamakan kedudukan.

Namun serangan balas pantas Kelantan seminit selepas itu turut hampa apabila rembatan kencang Danial Fadzly daripada luar kotak penalti diselamatkan Saiful Amar digawang golnya.

Tidak banyak percubaan menarik yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan pada aksi babak kedua, malah kegagalan jentera tengah Kelantan untuk menguasai bola di bahagian tersebut seakan-akan merencatkan corak serangan The Red Warriors untuk menjarakkan kedudukan dalam perlawanan malam tadi.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan hadir pada m-62 menerusi rembatan Mohd Nurul Azwan Roya yang menyaksikan Saiful Amar terpaksa melayangkan badannya untuk menepis keluar percubaan tersebut.

Pada m-67, Selangor sekali lagi kecewa untuk memperoleh gol penyamaan apabila rembatan padu P Gunalan ditepis keluar Khairul Fahmi sementara Mohd Nasriq pula lambat melakukan tindakan susulan apabila dikesan berada dalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan. Menyedari jentera serangan Selangor kurang bermaya dalam perlawanan malam tadi, Devan pantas melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan tiga pemain dalam tempoh enam minit pada pertengahan babak kedua bagi menguatkan jentera depan pasukannya.

Percubaan terakhir Selangor menerusi rembatan kencang pemain gantian, Mohd Fadzli Shaari pada m-86 yang sekadar melintasi pintu gol Kelantan menutup terus peluang Selangor untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Kota Bharu malam tadi.



KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya (Mohd Izuan Salahuddin), Muhd Badhri Radzi (KP) (Khairan Eruan Razali), Mohd Shakir Shaari, Danial Fadzly Abdullah (Mohd Nizab Ayub), S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

Formasi: 4-3-1-2



SELANGOR: Saiful Amar Sudar, Mohd Nasriq Baharom, P Gunalan, Mohd Razman Roslan (D Surendran), Yosri Derma Raju, Azidan Sarudin (Mohd Fadzli Shaari), Mohd Hardi Jaafar, Mohd Bunyamin Umar, Mohd Amirulhadi Zainal (Mohd Fitri Shazwan Raduwan), Shafiq Rahim dan Mohd Amri Yahyah (KP).

Formasi: 4-5-1

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...