Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 18, 2011

Wan Jamak undur diri (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

NASIB Wan Jamak Wan Hassan bersama pasukan Negeri Sembilan nyata tidak berpanjangan apabila meletak jawatan selaku ketua jurulatih skuad itu semalam selepas berdepan pelbagai tekanan susulan prestasi hambar skuad bimbingannya pada saingan Liga M.

Bagi pengendali berpengalaman itu, tindakan itu jalan terbaik baginya kerana mengaku bertanggungjawab atas kemerosotan skuad Hoben Jang Hoben selepas kalah empat daripada lapan perlawanan Liga M, setakat ini.

“Saya menghantar surat meletak jawatan pagi ini (semalam) kerana bertanggungjawab atas kemerosotan pasukan dan akur dengan kehendak persatuan. “Walaupun masih ada ruang meningkatkan prestasi pasukan kerana saingan masih di peringkat awal tapi demi kepentingan pasukan, lebih baik saya berundur bagi memberi laluan kepada pengurusan memperbaiki keadaan,” katanya.

Bekas pengendali kebangsaan dari Johor itu menyifatkan langkah itu diharap memberi kepuasan kepada semua pihak demi memastikan prestasi Negeri Sembilan kembali di landasan terbaik dalam mengharungi baki cabaran saingan Liga Super yang kembali bersambung 2 April ini.

“Walaupun sudah berusaha sebaik mungkin untuk meletakkan pasukan di landasan terbaik, usaha itu belum menampakkan hasil,” katanya yang mengakui ingin berehat buat sementara waktu.

Sementara itu, Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan ketua jurulatih itu menemui beliau untuk menyerahkan surat peletakan jawatan.

“Sebagai seorang profesional, Wan Jamak ingin memikul tanggungjawab atas kemerosotan pasukan dan mohon supaya dibenar meletak jawatan,” katanya selepas majlis penyerahan tiket dan saguhati khas kepada pelajar Negeri Sembilan.

Menurutnya, walaupun berat melepaskan Wan Jamak memandangkan jasanya sebelum ini, pihaknya menghormati pendirian jurulatih itu.

Katanya, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan tergempar dengan ahli majlis PBNS dan menimbang untuk melantik jurulatih baru serta menawarkan kepada mereka yang berminat.

“Pengurus pasukan, Datuk Abd Halim Abd Latif juga berhasrat meletak jawatan kerana turut berasa bertanggungjawab tapi saya katakan biar kami selesaikan perkara ini dulu.

“Beliau mahu PBNS melantik pengurus pasukan sepenuh masa,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini ramai jurulatih termasuk dari luar negara menawarkan diri untuk mengemudi pasukan Negeri Sembilan tapi PBNS akan meneliti terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

“Kami harap dapat memilih jurulatih terbaik kerana yang penting Negeri Sembilan kembali mantap,” katanya.

Kelmarin, Mohamad melahirkan rasa kecewa terhadap kemerosotan prestasi Negeri Sembilan hingga mendorong beliau melaungkan amaran keras untuk menyingkirkan pemain dan pegawai pasukan andai tiada perubahan sebaik saingan liga bersambung kelak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena