Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Wan Jamak makin tertekan (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil

2011/03/07

TEKANAN kian terasa buat ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan selepas misi mempertahankan Piala FA tidak kesampaian angkara ketumpulan barisan depan apabila disingkirkan Kuala Lumpur 4-2 menerusi sepakan penalti, pada saingan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Sabtu lalu.

Sekalipun menguasai sebahagian besar perlawanan, tuan rumah gagal menembusi benteng Kuala Lumpur apabila tidak kurang 20 percubaan barisan depannya gandingan Hairuddin Omar dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin serta Mohd Shafik Abd Rahman, tersasar.

Wan Jamak mengakui dia bingung dengan kegagalan pemain menggegar gawang walaupun ada ketikanya peluang sudah terhidang di depan mata.

“Sering kali saya mengingatkan pemain betapa tiada guna menguasai permainan jika tidak memenangi perlawanan. Berdasarkan perlawanan malam itu, banyak peluang diperoleh tetapi tidak satu pun menemui sasaran.

“Dan apabila perlawanan ditentukan menerusi penalti, keadaan menjadi lebih sukar kerana ia banyak bergantung kepada faktor lain termasuk nasib,” katanya, semalam.

Daripada empat sepakan penalti, hanya dua yang menembusi gawang Kuala Lumpur iaitu menerusi Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Hairuddin Omar manakala sepakan Abd Halim Zainal dan G Mahatevan, tersasar berbanding keempat-empat sepakan pemain lawan menewaskan penjaga gol Mohd Farizal Marlias.

Pengendali yang membawa Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2009 dan Piala FA musim lalu itu mengakui kecewa dengan kekalahan itu selepas pihak pengurusan meletakkan sasaran merangkul tiga trofi musim ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...