Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, March 12, 2011

Tunda tiga perlawanan (Harian Metro Online)

TANGGUH perlawanan Liga Super membabitkan Harimau Muda A, Jun depan.

Itu permintaan yang disuarakan jurulatih, Ong Kim Swee kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebaik pulang dari Lahore semalam.

Sama ada suka ataupun tidak, beliau yang membimbing skuad Olimpik negara layak ke pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 selepas mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0 Rabu lalu berharap Jawatankuasa Pertandingan Bola Sepak Tempatan FAM dapat mempertimbangkan permintaan itu.

Ini kerana, Kim Swee mahu menggunakan tempoh itu bagi mengadakan persiapan lebih rapi menghadapi perlawanan pusingan kedua pada 19 dan 23 Jun depan.

Mengikut perancangan disusun jurulatih dari Melaka itu, beliau mahu semua pemain yang akan dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan melaporkan diri sehari selepas perlawanan Harimau Muda A menentang Selangor 24 Mei depan.

Dalam tempoh itu sehingga saingan pusingan kedua berakhir, Kim Swee mahu perlawanan Harimau Muda A menentang Terengganu (14 Jun), Sabah (17 Jun) dan Pahang (21 Jun) ditangguhkan.

“Kalau permintaan ini dibenarkan, kami boleh melakukan persiapan lebih rapi. Saya juga berharap keputusan itu boleh diketahui lebih awal untuk memudahkan mengatur program latihan dan juga perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum pusingan kedua bermula.

“Saya mahu mengadakan persiapan di luar negara selepas keputusan undian pusingan kedua dikeluarkan. Contohnya, kalau skuad negara diundi bertemu Jepun kita akan pilih negara seperti Korea Selatan untuk perlawanan persahabatan, kalau kita diundi bertemu UAE (Emiriah Arab Bersatu), mungkin kita akan pergi ke negara seperti Kuwait. “Kita mahu berlatih dengan pasukan yang mempunyai corak permainan lebih kurang sama dengan lawan yang akan kita tentang pada pusingan kedua,” katanya yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Beliau kemudian bersama barisan pemainnya berlepas ke Kota Kinabalu bagi perlawanan Liga Super dengan Sabah malam ini di Stadium Likas.

Permintaan untuk menunda perlawanan Harimau Muda A itu mungkin tidak berdepan masalah memandangkan perlawanan itu boleh diadakan semula sebelum perlawanan terakhir dengan Johor FC dan Kuala Lumpur pada 5 dan 30 Julai depan.

Namun persoalannya bagaimanakah penerimaan pasukan Liga Super yang terbabit, adakah mereka sanggup menunda perlawanan menentang Harimau Muda A ataupun melepaskan pemain untuk menyertai latihan dan perlawanan selama sebulan bersama skuad Olimpik. Malaysia yang mara ke pusingan kedua bersama 10 lagi pasukan akan diundi menentang salah satu daripada 13 pasukan pilihan pada 30 Mac ini iaitu, Australia, Bahrain, China, Korea Selatan, Korea Utara, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam yang mendapat bye pada pusingan awal bagi mencari slot ke pusingan ketiga.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...