Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 9, 2011

Terus rentak kemenangan (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU – Kelantan meneruskan rentak kemenangan di halaman sendiri setelah mengalahkan Selangor 2-0 pada perlawanan Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV Kota Bharu, malam semalam.

Namun pasukan yang terkenal dengan jolokan The President Warriors ini terpaksa menunggu sehingga m-77 perlawanan untuk memperoleh gol pertama menerusi sepakan penalti, Mohd Aris Zaidi dan jaringan pemain gantian, Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood seminit sebelum perlawanan berakhir melengkapkan kemenangan bergaya ke atas pasukan Selangor.

Beraksi di hadapan hampir seribu penyokong setia, kedua-dua pasukan sekadar mempamerkan aksi hambar dengan banyak gerakan serba tidak menjadi pada separuh masa pertama walaupun Kelantan lebih mendominasi perlawanan pada babak itu.

Namun kejutan berlaku seawal minit kedua, bermula sepakan sudut pendek oleh Mohd Izuan Salahuddin kepada Mohd Khairul Izuan Rosli, rembatannya kencang singgah dipalang pintu gol Selangor tetapi tindakan susulan Mohd Faiz Suhaimi pula jauh tersasar.

Empat minit kemudian, giliran Selangor menguji pintu gol Kelantan apabila mempunyai peluang terbaik menerusi tandukan Mohammad Mazwan yang sedikit melewati pintu gol setelah menerima hantaran lintang Syafiq Azri.

Pada m-11 dan 15, Kelantan sekali lagi mempunyai dua peluang terbaik untuk berada di depan, namun sepakan percuma Mohd Khairul Izuan sedikit tersasar sementara rembatan Muizzuddin Marzuki pula mudah diselamatkan penjaga gol Selangor, Mohd Syafizullah.

Pada m-42, pasukan Selangor hampir memperoleh gol pendahuluan mereka namun sepakan percuma K Prabakaran sedikit melewati palang gol Kelantan.

Penguasaan pasukan Kelantan jelas ketara sebaik babak kedua disambung apabila melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol pendahuluan. Pada m-60, menyaksikan bermulanya babak ‘menggila’ anak didik Zahasmi Ismail apabila rembatan Mohd Aris tertampan benteng pertahanan Selangor dalam situasi kelam kabut di depan pintu gol pasukan pelawat.

Lima minit kemudian, giliran penyerang Mohd Farhan Yaakub pula mencemaskan pintu gol Selangor menerusi rembatannya yang diselamatkan Mohd Syafizullah setelah menampan kemas hantaran lintang Mohd Izuan Salahuddin sebelum itu.

Pada m-67, pemain tengah, Nicholas Chan Meng Jin turut mencuri tumpuan apabila sepakan lencongnya daripada luar kotak penalti menggegarkan palang gol Selangor. Tidak cukup dengan itu, tiga minit kemudian kuisan Mohd Aris dalam kotak penalti juga sekali lagi terkena palang gol Selangor.

Namun ‘badi palang gol’ Kelantan berakhir pada m-77 perlawanan. Tindakan pemain pertahanan Selangor, Choi Soon Seng menjatuhkan pemain gantian, Tuan Mohd Norhafiziee didalam kotak penalti akhirnya mengundang padah apabila pengadil perlawanan, Ismadi Ibrahim memberikan sepakan penalti kepada Kelantan.

Mohd Aris tenang menyepak masuk ke penjuru sebelah kiri pintu gol Selangor menewaskan Mohd Syafizullah untuk menghasilkan gol pertama Kelantan dalam perlawanan itu.

Ketinggalan satu gol, pemain Selangor mula bangkit mencari gol penyamaan. Pada m-80, bermula gerakan menarik di antara Mohamad Akbar Khamis dan Muhammad Khamis didepan pintu gol Kelantan tetapi rembatan Muhammad Khamis pula berakhir dengan kekecewaan apabila hanya melintasi pintu gol Kelantan biarpun penjaga gol, Judtanna Eh Put sudah pun tertewas.

Minit-minit akhir perlawanan, pemain gantian, Tuan Mohd Norhafiziee mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua untuk Kelantan menerusi rembatan kencangnya dalam kotak penalti menewaskan Mohd Syafizullah.


Kesebelasan utama:

KELANTAN: Judtanna Eh Put, Mohd Faiz Suhaimi, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (KP), , Mohd Zamri Ramli, Nicholas Chan Meng-Jin, Muizzudin Marzuki (Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood), Mohd Khairul Izuan Rosli (Mohd Syawal Rudin Abdul Razak), Mohd Norsyahrul Hawari (Mohd Azyu Ikmal Mat Nor), Mohd Izuan Salahuddin (Faizol Nazlin Sayuti), Mohd Aris Zaidi dan Mohd Farhan Yaakub (Md Shahiran Md Zin).



SELANGOR: Mohd Syafizullah, Reuben T Kathiripillai (KP), K Prabakaran (Mohamad Akbar Khamis), Mohamad Hafif Azhar (Khairul Anuar), Muhammad Farfizan (K Thiyagaraja), Mohammad Asraf, Mohamad Mazwan, Choi Soon Seng (Mohd Amiruddin), Syafiq Azri, Muhammad Zulhisyam dan Mohd Jamiuddin (A Puvanarajah).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...