Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, March 13, 2011

Selangor bangkit, Kelantan tumbang (Kosmo Online)


PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (kiri) gagal menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi oleh penyerang Pahang pada aksi di Kuantan malam tadi.


T-TEAM gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Perak dalam saingan Liga Super semalam.

Keputusan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu turut menyaksikan Perak kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Bagaimanapun, tuan rumah seharusnya berterima kasih kepada kehebatan penjaga gol, Syamsuri Mustapa yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan pemain Perak.

Peluang terbaik Perak hadir seawal minit kelima, namun percubaan jarak jauh daripada Akmal Rizal Rakhli mudah ditepis keluar oleh Syamsuri.

Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan padang becak akibat hujan turun memberi kesukaran kepada kedua-dua pasukan untuk menjaringkan gol.

Sementara itu, Negeri Sembilan gagal menafaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor pada aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban.

Skuad Hoben Jang Hoben terlebih dahulu mengejutkan pasukan pelawat apabila mendahului pada separuh masa pertama tetapi Selangor bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua.

Pada separuh masa pertama skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu lebih banyak menguasai perlawanan dan melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Selangor, namun penyudah lemah menafikan mereka melakukan jaringan.

Negeri Sembilan terlebih dahulu menceriakan kira-kira 10,000 penyokongnya apabila memperoleh sepakan penalti pada minit ke-10 selepas penjaga gol Selangor, menjatuhkan pemain sayap, S. Kunalan.

Shahurain Abu Samah yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakkan tersebut mudah menewaskan Mohd. Iqbal dan menjadikan kedudukan 1-0 pada separuh masa pertama.

Kunalan hampir menambah gol kedua untuk pasukan tuan rumah lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir tetapi rembatannya sekadar singgah pada palang gol Selangor.

Pada separuh masa kedua, Selangor melancarkan beberapa serangan dalam usaha menyamakan kedudukan tetapi gagal memecahkan benteng pertahanan Negeri Sembilan yang diketuai Muhd. Shukor Adan dan G. Mahathevan.

Penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Farizal Marlias juga bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya daripada penyerang Selangor yang diketuai Mohd. Amirulhadi Zainal dan Mohd. Amri Yahyah.

Jurulatih Selangor, K. Devan kemudiannya membuat pertukaran strategi apabila memasukkan Mohd. Fitri Shazwan dan Mohd. Faziudin Khalid bagi menggantikan Mohd. Fadzli Saari dan Mohd. Hardi Jaafar.

Hasilnya skuad The Red Giant itu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 selepas Amri Yahya mudah menewaskan Mohd. Farizal selepas menerima lorongan cantik daripada Safiq Rahim.

Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, Negeri Sembilan membuat sedikit perubahan apabila memasukan penyerang sensasi, Mohd. Zaquan Adha bagi menggantikan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-65.

Namun, Safiq Rahim muncul wira Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan untuk pasukannya melalui satu tandukkan cantik pada minit ke- 78.

Negeri Sembilan cuba bangkit mencari gol penyamaan pada minit-minit terakhir perlawanan tetapi keputusan kekal hingga ke wisal penamat.

Pada perlawanan lain menyaksikan Kedah yang dibimbing oleh Radhi Mat Din kembali bernafas apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu di Alor Setar.

Felda United pula semakin garang apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Kangar, sementara pendahulu liga Kelantan, tewas 0-2 kepada Pahang di Kuantan.

Dengan kekalahan itu, rekod bersih Kelantan kini sudah tercalar, namun masih unggul memimpin kedudukan liga dengan 14 mata.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...