Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 16, 2011

The Red Warriors perlu menang (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Pendahulu Liga Super, The Red Warriors tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang pada pertemuan dengan lawan, Felda United pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam ini.

Selepas terpaksa tunduk kepada Pahang 2-0 pada aksi Liga Super Sabtu lalu, Kelantan seharusnya menang malam ini, untuk melangkah lebih selesa pada perlawanan timba balik pada Jumaat depan.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, beliau tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut, biarpun aksi kedua timbal balik nanti akan berlangsung di gelanggang sendiri di Kota Bharu.

“Felda sebuah pasukan yang kuat dan pemain kita perlu berhati-hati dengan corak permainan mereka.

“Mereka mempunyai ramai pemain berpengalaman, dan kemenangan 2-0 ke atas Perlis tempoh hari, dilihat akan menyemarakkan lagi semangat mereka untuk bertemu Kelantan,” katanya.

Menurutnya, pertembungan malam ini juga, adalah untuk mencari kemenangan bagi membangkitkan semula moral pemain selepas kalah kepada Pahang pada aksi Liga Super lalu.

“Saya mahu pemain bangkit dengan semangat baru dan melupakan kekalahan itu serta kembali fokus dalam saingan Piala FA.

“Kemenangan aksi pertama itu cukup penting buat kita dan saya mahu pemain mendapatkan gol sebanyak mungkin sebagai bekalan selesa sebelum perlawanan kedua,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, selain mempertahankan rekod tanpa kalah The Red Warriors di tempat sendiri, kemenangan yang digapai itu dilihat akan memberi kelebihan buat pasukannya untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Saya sudah mengenal pasti kelemahan yang ada, selepas tewas kepada Pahang tempoh hari, meskipun kehilangan khidmat Zairol Fitree Ishak akibat kad kuning yang mungkin menjejaskan persiapan pasukan namun, pemain lain yang diturunkan perlu bersedia.

“Setiap kelemahan akan diperbaiki dan saya mahu semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya pada perlawanan tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena