Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Radhi Mat Din ganti Ahmad Yusoff latih Kedah? (Utusan Malaysia Online)

ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menimbangkan beberapa pilihan mengenai kedudukan barisan kejurulatihan skuad Sang Kenari, berikutan kemerosotan prestasi pasukan itu musim ini.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, antara pilihan yang ada ialah memberi peluang kepada barisan jurulatih sedia ada dengan mengekalkan mereka untuk membimbing skuad Hijau Kuning sehingga ke akhir musim.

Selain itu, kata beliau, KFA juga menimbangkan untuk merehatkan ketua jurulatih, Ahmad Yusoff dan tugasnya akan diganti oleh penolongnya, Radhi Mat Din .

Menurut beliau, jika keputusan ini diambil, Ahmad akan menjadi penaung kerana Radhi tidak mempunyai lesen jurulatih Kelas A.

"Kita turut mempunyai pilihan untuk meminta Ahmad menumpukan kepada bahagian pembangunan bola sepak remaja Kedah dan seorang ketua jurulatih baru dicari bagi menggantikannya di dalam pasukan Sang Kenari," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas mengenai desakan penyokong bola sepak Kedah yang mahu pengurus pasukan, Datuk Khazali Din dan barisan tiga jurulatih Hijau Kuning meletak jawatan ekoran prestasi buruk Sang Kenari pada musim ini.

Jumaat lalu, penyokong Kedah yang dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Felda United dalam saingan Piala FA mengadakan demonstrasi selama 30 minit sebaik sahaja perlawanan tersebut berakhir di Stadium Darul Aman.

Mereka mendesak Khazali, Ahmad, Radhi dan jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail meletak jawatan serta merta.

Dr. Hamdan berkata, apa pun pertimbangan yang dibuat, ia akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk para penyokong, pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan serta pakar sukan bola sepak di negeri ini.

Katanya, keputusan yang akan dibuat perlu adil, supaya dapat mewujudkan situasi menang-menang antara mereka yang terlibat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, para pemain Kedah turut melahirkan rasa bersalah dengan keadaan yang berlaku dan menyifatkan nasib belum menyebelahi mereka.

Menurutnya, para pemain mengakui bahawa mereka tiada masalah dengan jurulatih, cuma berasa tertekan dengan apa yang berlaku pada saingan awal musim dengan kebanyakan perlawanan berlangsung di gelanggang sendiri pada saat mereka sedang bertungkus lumus memantapkan persembahan pasukan.

"Oleh itu saya berharap semua pihak akan terus berada di belakang skuad Kedah dengan memberi sokongan tidak berbelah bahagi tidak kira apa pun keadaan yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia dimaklumkan bahawa KFA bermesyuarat malam semalam bagi membincangkan mengenai isu berkenaan.

Difahamkan, keputusan mesyuarat hanya akan diumumkan selepas ia dibentangkan kepada presiden persatuan itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan disembah maklum bagi mendapat perkenan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...