Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Penyokong Kedah desak letak jawatan (Utusan Malaysia Online)


PENYOKONG-penyokong Kedah berhimpun di pekarangan Stadium Darulaman, Alor Setar, kelmarin selepas kecewa dengan kekalahan pasukan mereka kepada Felda United. Kedah tersingkir daripada saingan Piala FA. - MINGGUAN/Kamal Basir


ALOR SETAR - Ekoran prestasi buruk Kedah pada musim ini apatah tersingkir daripada saingan Piala FA, penyokong fanatik naik berang dan mendesak pengurus pasukan, Datuk Khazali Din dan barisan tiga jurulatih Hijau Kuning meletak jawatan.

Penyokong Kedah yang dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Felda United itu terus mengadakan demonstrasi selama 30 minit sebaik sahaja perlawanan pusingan kedua merebut piala itu berakhir di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Jaringan Hasmarul Fadzil pada minit ke-81 menjadi pemusnah kepada Kedah untuk meraih slot lapan pasukan ke suku akhir Piala FA.

Mereka mendesak ketua jurulatih, Ahmad Yusof, penolongnya, Radhi Mat Din dan jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail meletak jawatan serta merta.

Selain itu, mereka juga menaikkan kain rentang yang tertera 'Pengurus dan jurulatih sila undur'.

Seorang peminat Zarift Sobri, 23, berkata, penyokong pasukan Kedah tidak berpuas hati dengan prestasi skuad Kenari sepanjang tujuh perlawanan musim ini termasuk satu perlawanan Piala FA apabila sekadar mencatat dua jaringan.

"Corak permainan Kedah tidak menunjukkan sebarang peningkatan biarpun dibarisi lima pemain kebangsaan yang membantu negara menjulang Piala AFF Suzuki," ujarnya.

Untuk meredakan ketegangan di kawasan stadium itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Supritendan Mohd. Sham membenarkan empat wakil penyokong Kedah untuk berjumpa dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Wakil kumpulan itu, Mohd. Sazali Mohd. Sobri, 29, berkata, pihaknya dimaklumkan oleh KFA bahawa surat mengenai prestasi Kedah sudah dikeluarkan kepada Ahmad.

"Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mahu siasatan menyeluruh berhubung prestasi pasukan dijalankan supaya satu keputusan yang adil dapat dilakukan.

''Dalam hal ini kami bukan bermaksud untuk menutup periuk nasi Ahmad dan jurulatih lain tetapi kami mahu situasi menang-menang kepada pasukan," katanya.

Sementara itu, Ahmad yang ditemui sejurus permainan tamat jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan setelah Kedah gagal mara ke suku akhir Piala FA dengan kekalahan tipis kepada Felda United.

"Tiada pasukan yang mahukan kekalahan tetapi situasi itu menimpa Kedah pada perlawanan penting ini.

"Pemain menunjukkan kesungguhan tetapi ia tidak memadai untuk membawa pasukan mencapai kemenangan dan ia bukan sekadar kesungguhan tetapi kesungguhan yang luar biasa untuk meraih kemenangan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...