Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Pemain Pulau Pinang disiasat (Kosmo Online)

AKSI buruk dan tidak konsisten skuad Pulau Pinang yang kini menduduki tangga tercorot Liga Premier nyata tidak disenangi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim berkata, prestasi skuad Harimau Kumbang yang tewas kesemua lima perlawanan termasuk menentang pasukan bawahan amat memalukan.

Malah katanya, ada pihak menganggap mereka (pasukan) ini telah menjual perlawanan.

"Amaran saya kepada pemain cukup mudah, tunjukkan prestasi atau dibuang.

"Kebanyakan mereka adalah pemain profesional dan kita juga akan siasat apakah punca sebenarnya perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang semalam.

Menurut beliau lagi, isu gaji tidak timbul kerana FAP telah membayar gaji termasuk jumlah yang tertunggak kepada semua pemain seperti yang dijanjikan.

Tegas beliau, yang menghairankan ialah para pemain dapat beraksi dengan baik pada separuh masa pertama tetapi mempamerkan aksi rapuh dan hilang rentak pada separuh masa kedua sehingga mudah menyerah kalah.

"Perkara yang memalukan ini bukan pertama kali berlaku tetapi hampir dalam setiap perlawanan musim ini hingga menimbulkan persoalan kepada penyokong tempatan.

"Justeru, FAP telah menubuhkan satu jawatankuasa pemantau yang diketuai bekas jurulatih pasukan, Abdul Shukor Salleh bagi mengenalpasti punca sebenar kekalahan," ujarnya.

Difahamkan, jawatankuasa itu turut diberi mandat sepenuhnya untuk menyiasat serta mencari bukti sekiranya terdapat unsur jual perlawanan yang membabitkan pemain pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, badan pengurusan FAP juga akan mengadakan sesi dialog bersama Kelab Penyokong Bola sepak Pulau Pinang iaitu Penang Panthers dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah dan mencari jalan penyelesaian.

Jelas Zahrain, pertemuan itu penting kerana skuad Harimau Kumbang perlu mencari rentak untuk mengembalikan kepercayaan penyokong kepada pemain serta pihak pengurusan FAP pada saingan musim depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...