Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 11, 2011

Nasib pasukan Kedah (Sinar Harian Online)


SELEPAS timbul dakwaan pemain Pulau Pinang menjual perlawanan dan kemerosotan prestasi pasukan Perlis, kini tiba giliran skuad Hijau Kuning dihimpit kemelut dalaman sehingga memaksa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merehatkan Ketua Jurulatihnya, Ahmad Yusof.

Keputusan merehatkan jurulatih itu berikutan prestasi terumbang-ambing Sang Kenari di saingan Liga Super.

Walaupun dibarisi lapan pemain kebangsaan, Kedah hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan daripada enam perlawanan liga.

Lebih malang, anak buah Ahmad Yusof terkeluar daripada kempen Piala FA selepas tewas kepada pasukan berstatus kelab, Felda United.

Berikutan prestasi hambar itu, penyokong Hijau Kuning mengadakan piket di luar Stadium Darul Aman mendesak Ahmad dan pengurus pasukan Datuk Khazali Din segera meletak jawatan.

Begitulah marahnya penyokong setia Kedah yang kecewa dengan persembahan longlai pasukan kesayangan mereka.

Malah, pada perlawanan Liga Super di antara Kedah dan Selangor baru-baru ini yang berkesudahan Sang Kenari tumpas 2-0, sudah kelihatan jelas amarah penyokong yang tidak dapat dibendung lagi.

Penyokong bagaikan tidak mahu menerima hakikat bahawa pasukan Kedah pernah mencatatkan kejayaan treble di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah (Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA) musim 2007 dan 2008 tidak lagi berbisa .

Justeru, timbul spekulasi bahawa pengendali berusia 59 tahun itu bakal kembali membimbing pasukan berkenaan.

Jika benar, diharap Azraai mampu mengubah nasib Kedah sekali gus mengelak pasukan itu kembali terjerumus ke kancah Liga Perdana.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...